PADANG BESAR: Sejak isterinya terlantar akibat strok, kehidupan Norizan Harun, 54, berubah sepenuhnya apabila dia terpaksa berhenti kerja demi menguruskan insan tersayang itu.
Bapa kepada lima orang anak itu tidak boleh meninggalkan rumah terlalu lama berikutan isterinya, Junalita Napiah, 53, memerlukan perhatian dan sokongan dalam hampir setiap urusan harian seperti makan, minum dan menguruskan diri.
Norizan berkata, dia sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan kampung bagi menyara keluarga namun keadaan Junalita yang memerlukan perhatian berterusan menyebabkan dia terpaksa mengubah rutin berkenaan.
“Saya kerja tidak menentu, kerja-kerja kampung. Apabila jadi seperti ini, fokus sepenuhnya memang kepada isteri,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Felda Chuping, di sini semalam.
Norizan berkata, pada peringkat permulaan, Junalita kerap mengalami sakit kepala sebelum beberapa kali pengsan sehingga terpaksa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mendapati terdapat pendarahan dalam kepala menyebabkan isterinya tidak lagi mampu membuka mata dan bercakap sehingga perlu menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Setar, Kedah tiga bulan lalu.
“Lepas pembedahan di kepala pada masa itu, isteri sihat semula sebelum terkena serangan sawan dan akhirnya strok menyebabkan sebelah badan tidak boleh bergerak. Sejak itu, saya mengambil alih hampir keseluruhan tugas dan urusan penjagaan isteri termasuk menyediakan susu bersama ubat-ubatan yang perlu dimasukkan melalui tiub.
“Saya juga perlu menyediakan sekitar 20 beg lampin pakai buang dalam masa sebulan berikutan isteri tidak lagi mampu menguruskan diri dan hanya terlantar di atas katil,” katanya.
Katanya, anggaran perbelanjaan untuk menguruskan isterinya adalah sekitar RM1,000 sebulan dan mereka juga menerima bantuan daripada ramai pihak.
“Selagi ada hayat, saya akan terus menjaga isteri dengan sepenuh hati dan berharap isteri dapat kembali sembuh,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun Maybank: 159012929734 atas nama Norizan Harun atau menghubunginya di nombor 012‑6537562.-UTUSAN.











