Perlis rangka pelan hadapi cuaca ekstrem

Perlis rangka pelan hadapi cuaca ekstrem

MEGAT Hashirat Hassan (tengah) bergambar bersama penerima selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Kepada Pengusaha Akuakultur di Batu Bertangkup, Padang Besar, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kerajaan negeri merangka pelan bagi menghadapi ketidaktentuan cuaca pada musim Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan fenomena Super El Nino yang diramalkan dapat menjejaskan sektor pertanian.

Antara langkah dirancang termasuklah penyediaan sumber air alternatif menerusi pembinaan telaga tiub dan penambahbaikan sistem pengairan serta saliran dalam mengurangkan risiko kerosakan tanaman.

Exco Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi dan Alam Sekitar, Megat Hashirat Hassan berkata, dalam Belanjawan Perlis 2027, persediaan bukan sahaja melibatkan aspek sistem tali air namun turut menitik beratkan keperluan telaga tiub di kawasan yang memerlukan sumber air alternatif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah itu diambil kerana kita sudah mengambil maklum kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan hingga Mei tahun depan dan berharap fenomena El Nino yang kuat tidak berlaku,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Kepada Pengusaha Akuakultur di sini, hari ini.

Bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilapor memaklumkan, fenomena El Nino diramal meningkat kepada kategori sangat kuat atau Super El Nino dari Oktober hingga Januari 2027 dan berpotensi meningkatkan risiko cuaca kering serta kebakaran.

Kata beliau, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula menunjukkan anomali suhu bagi fenomena itu berpotensi melebihi 2.0 darjah celsius.

Menurut Megat, persediaan awal adalah penting memandangkan sektor pertanian negeri berdepan risiko hujan lebat pada musim MTL dan kemarau berterusan pada awal tahun hadapan yang berupaya menjejaskan tanaman padi.

“Kita tidak boleh hanya menyalahkan hujan lebat kerana ada perkara lain yang perlu diteliti termasuk keadaan sistem saliran dan halangan pada laluan air.

“Apabila musibah berlaku, kita perlu melihat bagaimana kerajaan boleh membantu meringankan beban petani yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk mengusahakan semula tanaman,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan kecemasan bagi menghadapi kemungkinan cuaca ekstrem namun pelaksanaannya akan mengambil kira kemampuan kewangan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini