ADUN Gerakan angkat sumpah hari pertama Sidang DUN - Utusan Malaysia

ADUN Gerakan angkat sumpah hari pertama Sidang DUN

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) menyaksikan penyerahan cek Warisan Negeri Terengganu selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu di sini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Wakil kaum Cina daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Terengganu akan mengangkat sumpah pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan itu disegerakan bagi membolehkan wakil berkenaan mengambil bahagian dalam persidangan termasuk perbahasan pembentangan bajet kerajaan negeri.

Menurutnya, ADUN lantikan itu tidak akan diberikan portfolio khusus, sebaliknya berperanan membawa suara dan memperjuangkan kepentingan masyarakat bukan Melayu, khususnya kaum Cina di Terengganu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kerajaan negeri juga terbuka untuk mempertimbangkan pelantikan wakil daripada kaum lain termasuk masyarakat India pada masa akan datang sekiranya jumlah kelompok berkenaan signifikan dan memerlukan perwakilan dalam DUN.

“Buat masa ini, kelompok paling ramai selain Melayu di Terengganu ialah kaum Cina dan kita akan mempertimbangkan kaum lain juga pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, di sini.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mengumumkan cadangan pelantikan wakil Gerakan itu ketika berucap sempena kunjungan ke Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) DUN Ayer Keroh, Melaka, Ahad lalu.

Beliau berkata, pelantikan berkenaan dibuat selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu yang membolehkan kerajaan negeri melantik wakil daripada golongan, kaum atau jantina yang tidak mempunyai perwakilan dalam DUN.

Mengulas dakwaan bahawa pelantikan itu bakal menambah beban kewangan kerajaan negeri, Ahmad Samsuri menjelaskan, kelewatan melaksanakan pelantikan berkenaan sejak awal pembentukan kerajaan negeri berpunca daripada cabaran pengurusan kewangan yang dihadapi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini