KANGAR: Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan 2,748 notis dan kompaun di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi tempoh dari Januari hingga bulan lalu.
Secara keseluruhan, sebanyak 11,942 premis telah dilawati untuk pemeriksaan bagi tempoh sama.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ghazali Chik berkata, selain tindakan penguatkuasaan, sebanyak 13,369 aktiviti advokasi dan pendidikan kesihatan turut dilaksanakan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya merokok serta kepentingan pematuhan undang-undang yang dikuatkuasakan.
“Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, saya ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam hendaklah dilaksanakan secara tegas, adil, profesional dan berintegriti.
“Pada masa sama, pendekatan pendidikan, advokasi dan komunikasi bersama masyarakat perlu terus diperkasakan agar pematuhan undang-undang bukan sekadar berlaku kerana takut dikenakan tindakan, tetapi menjadi satu budaya dan tanggungjawab bersama,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasa Kesihatan Awam Mega di sekitar Jalan Sarawak, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Operasi bersepadu itu turut disertai beberapa agensi antaranya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara Negeri Perlis, Majlis Perbandaran Perlis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ghazali berkata, operasi itu melibatkan pelaksanaan penguatkuasaan di bawah empat peruntukan undang-undang iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Akta Makanan 1983 (Akta 281), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Skop operasi pada kali ini merangkumi penguatkuasaan terhadap kesalahan merokok termasuklah penggunaan rokok elektronik atau vape di kawasan larangan merokok, pemeriksaan kebersihan premis makanan, tindakan terhadap tempat pembiakan nyamuk aedes serta penguatkuasaan berkaitan kegagalan notifikasi kes penyakit berjangkit,” katanya.
Ghazali berkata, beliau berharap operasi itu dapat meningkatkan tahap pematuhan orang ramai terutamanya di premis makanan dan kawasan larangan merokok yang telah ditetapkan.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan orang awam khususnya golongan tidak merokok dilindungi daripada pendedahan kepada asap rokok serta risiko kesihatan berkaitan.
“Sehubungan itu, dalam memperkasa penguatkuasaan Akta 852 melalui penglibatan masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membangunkan sistem MyLapor yang mula beroperasi pada 12 Oktober lalu sebagai saluran aduan digital untuk orang awam menyalurkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852),” katanya.-UTUSAN











