KOTA KINABALU: Sabah FC berpesta gol membelasah KL Rovers 7-0 dalam saingan Piala FA di Stadium Likas, malam ini.
Kemenangan besar itu membolehkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mara ke kelompok lapan pasukan terbaik untuk saingan peringkat suku akhir.
Sang Badak membuka tirai permainan dengan gol pertama pada minit ke-17 menerusi jaringan Saddil Ramdani.
Anak buah kendalian Kim Swee itu terus mengasak dan menjaringkan dua lagi gol sebelum berakhir separuh masa pertama menerusi jaringan pemain import, Ramon Machado pada minit ke-28 dan minit ke-44.
Bersambung babak kedua, Sabah FC menyambung kenduri gol apabila kapten pasukan, Park Taesu menjaringkan gol pada minit ke-51 dan minit ke-58 menerusi gol ketiga Ramon.
Jafri Chew juga tidak ketinggalan untuk mencetak nama sebagai penjaring pada perlawanan malam ini apabila menyumbat gol pada minit ke 72 sebelum Mohd. Raffi Nagoorgani menjaringkan gol sendiri untuk membolehkan Sabah mencatat gol ketujuh pada minit ke-93.
Kenduri gol itu sekali gus menoktahkan kemenangan buat Sabah FC untuk menempah saingan menentang Terengganu FC dalam aksi suku akhir. – UTUSAN










