KKP bantu promosi produk Perlis, selesai isu kesesakan terminal Kuala Perlis - Utusan Malaysia

KKP bantu promosi produk Perlis, selesai isu kesesakan terminal Kuala Perlis

MOHD Shukri Ramli (lima dari kanan) mendengar penerangan berhubung perkembangan kerja-kerja naik taraf Kompleks Kemudahan Pelancongan Kuala Perlis, Perlis sewaktu mengadakan lawatan ke tapak berkenaan, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kewujudan Kompleks Kemudahan Pelancongan Kuala Perlis (KKP) yang kerja-kerja naik tarafnya dijangka selesai sepenuhnya Mac depan bukan sahaja membantu mempromosikan produk-produk negeri ini sebaliknya turut membantu menyelesaikan isu kesesakan di terminal feri Kuala Perlis.

Pelaksanaan projek naik taraf tersebut adalah bertujuan bagi memenuhi permintaan kaunter feri dan agensi pelancongan di samping memberi kemudahan lebih bersistematik kepada pelancong dengan mewujudkan balai menunggu sebelum ke Pulau Langkawi.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, buat masa ini, kerja-kerja menaik taraf kompleks itu telah mencapai tahap 88 peratus dan bakal menjadi salah satu platform bagi mempromosikan sektor pelancongan negeri ini.

“KKP juga menjadi lokasi untuk mempromosikan produk-produk negeri Perlis buat pengunjung yang datang ke sini.

“Selain itu, kerja-kerja naik taraf kompleks ini juga dapat menyelesaikan isu kesesakan di Terminal Feri Kuala Perlis memandangkan kenderaan awam akan menggunakan laluan di belakang untuk menurunkan penumpang,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan meninjau pelaksanaan pembinaan projek berkenaan di sini hari ini.

Turut sama dalam lawatan itu adalah barisan Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Pengurus Besar Pejabat Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Norsiake Kassim.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, PKENPs telah menerima peruntukan daripada Pejabat Pembangunan Negeri Perlis sebanyak RM2.9 juta pada tahun 2021 bagi menjalankan kerja naik taraf kompleks berkenaan.

“Pada asalnya, kompleks ini mempunyai 13 unit kaunter dan lapan unit kiosk sahaja namun melalui kerja-kerja naik taraf ini terdapat penambahan lima unit kiosk, satu unit rumah pam, tandas, bilik mandi, surau dan parkir bas pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, unit-unit kiosk di kompleks itu juga telah penuh diisi dan daripada aspek promosi juga akan diberi penekanan selepas ini bagi memastikan rakyat setempat dapat menjadikannya sebagai salah satu lokasi bersantai.

Tambahnya, penjaja di bahagian luar terminal feri itu juga akan turut dipindahkan selepas ini bagi memberikan keselesaan kepada pihak terlibat.

“Terdapat banyak kemudahan tersedia di sini dan kerajaan negeri berharap agar kompleks ini merancakkan lagi sektor pelancong di Perlis,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya