KANGAR: Pakatan Harapan (PH) yakin memenangi Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) berdasarkan momentum sokongan ditunjukkan rakyat termasuk dalam beberapa siri jelajah Mega Harapan di beberapa negeri setakat ini yang mendapat sambutan hebat.
Timbalan Pengerusi PH, Mohamad Sabu yang lebih dikenali Mat Sabu berkata, kehadiran orang ramai dalam siri jelajah itu menunjukkan momentum sokongan yang baik daripada rakyat.
Katanya, pergerakan kempen pakatan itu hanya dibuat dalam empat hingga lima bulan kebelakangan ini disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Kemudian Parlimen dibubarkan dalam keadaan mengejut dan Perlis adalah negeri keempat dilakukan jelajah dan kempen secara fizikal ini.
“Kita yakin dengan momentum sokongan ini dan harap tempoh berbaki tiga minggu ini mampu beri kelebihan kepada PH,” katanya ketika ditemui selepas ceramah Jelajah Mega Harapan di tapak pasar lama Kangar, malam tadi.
Turut hadir, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong; Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan), Aiman Athirah Sabu; Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Dalam perkembangan berkaitan, Mat Sabu memaklumkan PH menyasarkan untuk memenangi lebih 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.
Katanya, perundingan pengagihan kerusi masih lagi berlangsung dan keputusan agihan tersebut akan diumumkan pada 30 Oktober ini.
“Pengumuman itu melibatkan semua parti komponen dalam PH serta parti gabungan iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda),” katanya. – UTUSAN










