KAJANG: Semenjak tamat perintah kawalan pergerakan (PKP) dan negara pula mula berada dalam fasa peralihan ke endemik, ramai pemain-pemain baharu mula mencungkil bakat di dalam sukan golf.
Ia bagai cendawan tumbuh selepas hujan, banyak pemain muda mula menjinak di dalam sukan golf tetapi tidak mengambil tahu tentang asas dan bagaimana ingin menaikkan perasaan teruja mereka semasa bermain sukan tersebut.
Golf Lab yang dibuka pada empat Januari tahun ini cuba menyuntik asas kepada pemain-pemain sukan tersebut tanpa mengira usia – pendatang baru, lama atau profesional dengan menawarkan servis ‘coaching’ dan ‘fitting’ untuk pemain.

Pengarah, Yusrad MJ berkata, syarikatnya menawarkan dua servis dalam membantu pemain golf menaiktarafkan permainan mereka dan memberi keselesaan serta meningkatkan keseronokan setiap pemain golf semasa beraksi di padang.
“Dengan menawarkan servis studio simulator, kami menyasarkan untuk membawa teknologi TrackMan ke Malaysia dan dapat dinikmati atau dikongsi dengan pemain-pemain golf negara. Kerana sistem ini adalah satu teknologi yang terbaik berada dalam pasaran dunia.
“Di Malaysia, kami adalah syarikat pertama yang bawa teknologi ini untuk dicuba bersama pemain-pemain terutama di kawasan Lembah Klang. Di dalam studio ini, kami mempunyai tiga bahagian iaitu dinamakan sebagai putting, chipping dan TrackMan, masing-masing menggunakan teknologi canggih untuk membantu pemain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Untuk rekod, TrackMan ialah sistem radar yang membaca data kayu dan bola golf mengikut kekerapan perubahan gelombang mikro yang dipantulkan dari dua alat sukan tersebut semasa menjalani proses simulator
Ini membolehkan teknologi tersebut merekod data kritikal, termasuk laluan dan kelajuan kayu golf, sudut ayunan dan sebagainya, data-data tersebut akan diambil untuk mencari kayu golf yang sesuai dan memaksimumkan kebolehan pemain.

Ditanya mengenai penerimaan pemain-pemain baharu terhadap servis ditawarkan, Yusrad berkata, kerana wujudnya stigma ‘sukan golf untuk golongan elit’ menjadikan banyak individu-individu berasa takut untuk memasuki kedai mereka.
Beliau menegaskan, sukan golf adalah sukan yang tidak mengira golongan, pangkat dan sebagainya kerana ia adalah permainan umum.
“Apabila pemain-pemain baharu nampak kedai yang menawarkan servis seperti kami, mereka takut hendak masuk. Sedangkan kami memang mahu mereka datang dan merasai pengalaman seolah-olah berada di driving range.
“Ada pemain-pemain baharu dalam arena ini yang berdaftar untuk sesi pembelajaran bersama kami, mereka menyatakan pengalaman sangat berbeza berbanding bermain di luar kerana di dalam studio mempunyai visual dan data yang membolehkan mereka melihat analisis mereka,” ujarnya.
Menurut Yusrad, Golf Lab menawarkan tiga pakej berbeza dengan harga yang jauh lebih murah dan berpatutan antaranya adalah pakej individu, kumpulan dan keluarga.
Bagi pakej individu, katanya, pemain dewasa boleh menikmati servis pihaknya untuk dua jam dengan hanya RM280 dan kanak-kanak pula hanya perlu membayar RM180 untuk tempoh sama.
Bagi pakej kumpulan, tambahnya, pemain dibenarkan mempelajari dalam bentuk kumpulan iaitu sebanyak tiga orang dengan bayaran RM400 untuk satu orang, pemain akan menjalani latihan selama empat kali jika mengambil pakej ini.
“Pakej terakhir adalah pakej keluarga, iaitu dua orang yang mempunyai pertalian keluarga dengan harga serendah RM380 untuk dua jam,” jelasnya.
Yusrad juga memberitahu, data-data diperolehi daripada latihan ini membolehkan pemain mendapatkan ‘custom fit’, di mana kira-kira 92 peratus pemain yang menggunakan kayu diubahsuai khas untuk pemain menunjukkan penambahbaikan.
Malah, hampir 80 peratus pemain yang menggunakan ‘custom fit’ dapat memukul bola dengan lebih tepat dan konsisten.
Ini membuktikkan servis ditawarkan oleh Golf Lab membolehkan pemain-pemain mengetahui tentang kebolehan diri pemain dan turut membolehkan mereka mendapatkan peralatan mengikut kesesuaian diri.
Yusrad menambah, bagi pembaca-pembaca akhbar, mereka boleh membawa keratan akhbar ini ke kedai mereka untuk mendapatkan diskaun iaitu satu jam sesi pembelajaran percuma.
Kepada mereka yang berminat boleh datang ke Golf Lab atau hubungi Pro Shahril di talian +6012-3252704 atau +6012-6140534. – UTUSAN










