Bot karam: 11 PATI mati lemas, 25 hilang, 11 selamat - Utusan Malaysia

Bot karam: 11 PATI mati lemas, 25 hilang, 11 selamat

Anggota Maritim Malaysia dan bomba melihat pakaian milik pendatang asing yang bersepah selepas bot dinaiki mereka karam di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Hajat 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang mahu mencari rezeki di negara ini dengan menyusup masuk tidak kesampaian apabila bot membawa mereka karam hanya kira-kira 3 kilometer dari lokasi mendarat di pantai Tanjung Balau di sini semalam.

Tragedi pukul 4.30 pagi itu menyebabkan 11 mangsa iaitu tujuh lelaki dan empat wanita ditemui mati lemas, 14 selamat manakala 25 lagi belum diketahui nasib. Maklumat tersebut setakat pukul 7 malam tadi.

Sebelum kejadian, bot gentian kaca yang didakwa berlepas dari Lombok pada tengah malam itu sudah bersedia ke tepi pantai untuk menurunkan penumpangnya.

Malangnya, ketika menghampiri pantai, cuaca buruk menyebabkan bot itu karam dipukul ombak besar. Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pantai Tanjung Balau melihat pasukan penyelamat mengumpul 11 mayat mangsa dan mengutip barang peribadi mereka seperti beg pakaian, songkok, sejadah, selipar, gambar dan makanan.

Semua mayat itu ditemui terdampar di tepi pantai dengan satu mayat ditemui di bawah bot yang terbalik. 14 PATI yang selamat ditahan kerana tiada dokumen perjalanan.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, kesemua PATI disyaki dari perairan Lombok dan cuba memasuki negara ini melalui jalan laut di negeri ini yang tidak diwartakan.

Menurut beliau, insiden PATI berlepas dari Lombok dan karam adalah tragedi pertama di perairan Johor Timur kerana kebiasaan warga Indonesia memilih memasuki negara ini dari Batam kerana lebih dekat.

“Maritim Malaysia masih melakukan siasatan modus operandi kemasukan PATI tersebut selain mengesan tekong.

“Kesemua mangsa yang selamat masih trauma selain mereka perlu melalui prosedur ujian calitan Covid-19 sebelum maritim melakukan siasatan,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Kata Simon, mangsa-mangsa yang selamat berusia 20 hingga 50 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita dengan seorang mengalami kecederaan parah tetapi stabil dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

“Sehingga kini kita tidak boleh buat spekulasi sama ada 25 lagi mangsa selamat atau tidak tetapi seperti dimaklumkan saksi, mereka masih hilang dan tidak boleh jamin selamat di darat atau berada di laut,” katanya.

Sehubungan itu, Simon berkata, seramai 159 orang anggota darpadai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa masih hilang.

Katanya, operasi mangsa yang hilang akan dilakukan sehingga satu waktu yang sesuai dan bergantung kepada keadaan semasa termasuk faktor cuaca.

“Pihak Maritim Malaysia juga telah menerbangkan aset termasuk sebuah helikopter dan juga aset di laut, skop pencarian dilakukan oleh pegawai yang dilatih khas dalam misi mencari dan menyelamat,” jelasnya.

Pada 2 Disember lalu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, agensi itu mengenal pasti sembilan negeri berdekatan perairan Selat Melaka sebagai lokasi ‘panas’ sindiket penyeludupan migran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurut beliau, kawasan utara di Kedah dan Perlis seperti Kuala Perlis, Simpang Empat, Sungai Baru, Sanglang serta Pulau Rebak dikesan sering dijadikan laluan percubaan sindiket berkenaan.
Sindiket penyeludupan turut mengambil kesempatan melakukan aktiviti di Pulau Pinang seperti Pulau Kendi, Sungai Juru dan Seberang Perai.

Turut berlakunya cubaan pencerobohan adalah di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan, Kuala Selangor serta Tanjung Sepat manakala di Melaka dan Negeri Sembilan melibatkan Kuala Kesam, Teluk Kemang, Kuala Sepang dan Pulau Perjudi serta Tanjung Dahan manakala Perak meliputi Hutan Melintang, Pasir Panjang, Pantai Remis, Bagan Panchor dan Kuala Kurau.

Di Johor melibatkan Parit Jawa, sepanjang Tanjung Penyusup sehingga Tanjung Pengelih selain penyeludup ini menyasarkan beberapa kawasan di Sabah Barat seperti Kudat, Pitas, Sandakan dan Tawau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN