Jenazah Covid-19 bertali arus, kematian dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Jenazah Covid-19 bertali arus, kematian dijangka meningkat

Petugas kesihatan yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) menguruskan pengebumian 26 jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2021.- UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sejak awal bulan ini, Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini menerima ketibaan van jenazah kebanyakan membabitkan mangsa virus Covid-19 tidak putus-putus.

Semua van jenazah berkenaan akan diiringi pemandu dan kakitangan Kementerian Kesihatan yang lengkap memakai alat perlindungan diri (PPE).

Tinjauan Utusan Malaysia pukul 12 tengah hari kelmarin mendapati, penggali dan penjaga kubur ‘tidak menang tangan’ membantu menguruskan beberapa jenazah yang tiba sejak pagi.

Ketika wartawan sampai di tanah perkuburan itu, terdapat sebuah van jenazah bersama petugas lengkap memakai PPE sudah berada di kawasan tersebut dan sibuk menguruskan pengebumian.

Kira-kira 45 minit kemudian, tiba sebuah lagi van dipercayai milik sukarelawan, tetapi diubah suai untuk membawa jenazah bagi dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Ahmad Nordin, 50, yang bertugas di tanah perkuburan itu berkata, sejak awal bulan ini, hampir setiap hari dia tidak putus-putus menerima dan menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

“Sebelum ini, hanya lima hingga enam jenazah mangsa Covid-19 yang dikebumikan di sini dalam tempoh seminggu.
“Bagaimanapun, sejak 5 Julai lalu, boleh dikatakan secara purata tujuh jenazah dikebumikan di tanah perkuburan ini setiap hari. Malah paling banyak pada beberapa minggu lepas iaitu sehingga 11 jenazah mangsa Covid-19 dikebumikan di sini,” katanya.
Ahmad yang baru setahun bertugas di tanah perkuburan berkenaan berkata, jenazah mangsa Covid-19 tiba di situ seawal pukul 10 pagi dan proses berkenaan berterusan sehingga pukul 6 petang.

Dengan jumlah jenazah yang meningkat, dia bersama empat petugas lain perlu melaksanakan tugas pengebumian secepat mungkin, iaitu dalam tempoh 15 minit untuk setiap jenazah supaya jenazah lain tidak menunggu masa lama untuk dikebumikan.

“Semasa kerja pengkebumian, semua petugas perlu memakai PPE, lengkap bersarung tangan serta pelitup muka. Kami siap menggali liang lahad menggunakan jentera jengkaut supaya proses pengebumian dapat dilaksanakan lebih cepat.
“Semua itu perlu dilakukan dengan pantas kerana van yang sama juga perlu digunakan untuk membawa jenazah lain ke tanah perkuburan untuk dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh menjangkakan angka kematian akibat Covid-19 terus meningkat selagi sekurang-kurangnya 50 peratus populasi penduduk belum lengkap menerima vaksin manakala kes harian pula terus melebihi 10,000 kes.

Katanya, masyarakat terus berisiko dijangkiti Covid-19 kerana penularan dalam komuniti semakin meluas manakala faktor lewat mengesan gejala wabak juga menyebabkan mereka sudah berada di tahap empat atau lima.

“Peningkatan jumlah kematian tertinggi kelmarin iaitu 153 pada Ahad lalu manakala Isnin sebanyak 129 kes adalah membabitkan pesakit-pesakit yang belum menerima vaksin sama ada satu atau dua dos,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setakat kelmarin, Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 909 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 445 orang lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pula merekodkan hanya 4.4 juta atau bersamaan 13.6 peratus penduduk telah menerima dua dos vaksin.

Menurut Dr. Sharifa Ezat, mereka yang dijangkiti wabak itu dengan mempunyai latar belakang penyakit lebih berisiko terus menjadi serius sehingga memerlukan bantuan oksigen.

“Seperti United Kingdom (UK) walaupun mencatatkan jumlah kes tertinggi, namun kadar kematian dan jumlah menerima rawatan di hospital rendah apabila separuh rakyat negara itu sudah menerima vaksin.

“Namun vaksin bukan satu-satu penyelesaian kerana paling penting pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana virus varian baharu ini boleh merebak dengan cepat,” kata beliau ketika dihubungi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN