KUALA LUMPUR: Terdapat desas-desus akar umbi UMNO akan membawa usul meminta pucuk kepemimpinan parti itu menarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang berlangsung tiga hari bermula 1 Januari ini.
Malah Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan sendiri tidak menolak kemungkinan tersebut dan memberi jaminan setiap usul dibawa akar umbi nanti diberi perhatian sewajarnya.
“Usul akar umbi akan diteliti oleh kepemimpinan supaya keputusan dasar mengambil kira semua sudut pertimbangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi baru-baru ini yang meminta ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) supaya menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, beberapa minggu lepas Timbalan Ketua UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed mendakwa pemimpin akar umbi dan ahli parti akan menolak idea gabungan besar dengan menggabungkan PN, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
UMNO Bahagian Batu Pahat menjadi antara akar umbi parti terawal yang meminta pucuk pimpinan parti supaya tidak menyertai PN secara rasmi sekiranya didaftarkan sebagai gabungan rasmi.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga mengakui akar umbi parti kurang senang dengan hasrat
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang asalnya adalah kerjasama antara UMNO dan Pas.
Setakat ini, satu-satunya ahli Parlimen UMNO yang terang-terang tidak menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. – UTUSAN










