JAKARTA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Ario Bimo Nandito Ariotedjo yang juga dikenali sebagai Dito Ariotedjo hadir semalam sebagai saksi pada perbicaraan mantan Menteri Hal Ehwal Agama, Yaqut Cholil Qoumas, berhubung dakwaan rasuah membabitkan kuota tambahan haji bagi tempoh 2023-2024.
Hakim yang mengetuai perbicaraan di Mahkamah Jenayah Rasuah Jakarta, Ni Kadek Susantiani, terlebih dahulu bertanya kepada pendakwa raya Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) mengenai jumlah saksi yang dikemukan.
“Kepada pendakwa raya, berapa orang saksi yang akan dikemukakan?” soalnya.
“Hari ini, pihak pendakwa raya akan mengemukakan empat orang saksi,” jawab pendakwa raya itu.
Dalam perbicaraan itu Dito berkata, kisah mengenai kuota tambahan itu bermula daripada pertemuan Presiden Indonesia ketika itu, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud pada Oktober 2023.
“Setakat yang saya tahu, memang Raja (Arab Saudi) yang menawarkan dan memberikan tambahan itu,” kata Dito di mahkamah..
Dito juga tidak mengetahui secara terperinci jumlah tambahan kuota yang dibincangkan Jokowi dengan pihak kerajaan Arab Saudi.
KPK telah mendakwa empat individu dalam kes rasuah yang didakwa membabitkan kuota tambahan haji.
Selain Yaqut, mereka ialah bekas kakitangan khas bekas menteri itu, Ishfah Abidal Aziz yang juga dikenali sebagai Alex; Pengarah Operasi Maktour, Ismail Adham dan bekas Pengerusi Persatuan Pengendali Pelancongan dan Perjalanan Haji serta Umrah Indonesia, Asrul Azis Taba.
Menurut laporan Antara, keempat-empat mereka didakwa menyebabkan kerugian negara berjumlah 622.09 bilion rupiah (RM144 juta).
Mereka disyaki mengubah dan mengatur pembahagian kuota tambahan haji khas bagi 2024 sebanyak 50 peratus tanpa semakan teknikal.
Selain itu, pendakwa raya KPK mendakwa mereka mengisi kuota tambahan haji khas bagi 2023 dan 2024. Ia meliputi jemaah haji khas tanpa tempoh menunggu (T0) dan jemaah haji khas yang mempunyai tempoh menunggu beberapa tahun (Tx), bertentangan dengan prosedur yang ditetapkan.
Pendakwa raya berkata, pengisian kuota itu dilakukan bagi memenuhi permintaan Persatuan Pengendali Ibadah Haji Khas (PIHK).
Tindakan itu turut disertai penerimaan bayaran bagi mempercepatkan proses daripada jemaah haji dan petugas haji khas.
Atas perbuatan itu, para tertuduh disyaki melanggar Perkara 603 dibaca bersama Perkara 20 huruf c Kanun Jenayah atau Perkara 3 dibaca bersama Perkara 18 Undang-Undang Rasuah, seperti yang dipinda melalui Undang-Undang Nombor 20 Tahun 2001. – AGENSI










