BAITULMUQADDIS: Kerajaan Israel mengarahkan tenteranya mengurangkan operasi serangan di Gaza, menurut laporan Army Radio, sebuah rangkaian radio milik tentera Israel.
Menurut wartawan ketenteraan stesen itu, Doron Kadosh, kepimpinan politik Israel mengeluarkan arahan kepada tentera supaya mengurangkan aktiviti di Gaza ke tahap minimum dan hanya melaksanakan tindakan bersifat pertahanan.
“Implikasi praktikalnya ialah operasi untuk menawan Gaza City dihentikan buat masa ini,” katanya dalam satu hantaran di platform X (dahulu Twitter).
Arahan ini menandakan perubahan ketara dalam strategi tentera Israel selepas berbulan-bulan menjalankan serangan agresif terhadap Gaza, yang menyebabkan kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan sebab perubahan dasar ini, atau sama ada ia berkait dengan tekanan antarabangsa, kemajuan dalam rundingan gencatan senjata, atau faktor dalaman seperti kekangan ketenteraan dan politik.
Perkembangan ini turut mencetuskan spekulasi undingan damai mungkin memasuki fasa lebih serius, khususnya selepas beberapa laporan menyebut adanya kemajuan dalam usaha gencatan senjata dengan penglibatan kuasa antarabangsa termasuk AS dan Mesir.
Sementara itu, tiada kenyataan segera daripada pihak Hamas mengenai keputusan Israel ini.










