KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini belum menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan cip kecerdasan buatan (AI) keluaran Nvidia dikaitkan dengan Megaspeed telah dieksport semula dari Malaysia ke negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan awal siasatan belum menunjukkan bukti yang mengesahkan dakwaan berkenaan.
Katanya, Malaysia juga belum menerima sebarang permintaan rasmi daripada Singapura mahupun Amerika Syarikat (AS) berhubung isu berkenaan.
“Setakat ini, kita belum menerima sebarang permintaan sedemikian. Namun, sudah tentu kita akan memberikan kerjasama.
“Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan. Kita mengalu-alukan pelaburan dan mahu memastikan semua peraturan dipatuhi,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Madrasathul Gouthiyyah Brickfields semalam.
Beliau mengulas kenyataan MITI yang memaklumkan bahawa kerajaan tidak pernah memberikan sebarang pelepasan kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd atau sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
Ia susulan dakwaan berhubung kemungkinan penyalahgunaan pusat data tempatan bagi menyalurkan cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi ke negara lain.
MITI memaklumkan Speedmatrix hanya berstatus penyewa di pusat data di Malaysia, manakala lawatan pengesahan kementerian ke premis berkenaan adalah sebahagian daripada pemantauan berkala terhadap sektor itu.
Menurut kementerian, lawatan berkenaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bukti syarikat terbabit sudah mendapat pelepasan.
Penjelasan itu dibuat susulan penelitian terhadap Megaspeed berhubung dakwaan pengalihan cip AI Nvidia yang tertakluk kepada sekatan ke China.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Jabatan Kehakiman AS sedang bekerjasama dengan Biro Industri dan Keselamatan bawah Jabatan Perdagangan negara itu dalam menjalankan siasatan berkenaan.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau belum membuat keputusan berhubung peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan meskipun sudah menerima surat rasmi daripada Setiausaha Agung DAP itu.
Menurutnya, tiada keperluan untuk beliau tergesa-gesa menerima peletakan jawatan berkenaan walaupun Loke memaklumkan keputusan itu telah berkuat kuasa.
“Beri tempoh untuk saya bincang dan meneliti semula. Saya belum menerima peletakan jawatan Loke)” katanya.
Katanya, penerimaan surat berkenaan tidak bermakna beliau sudah membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan Loke dalam Kabinet.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pentadbiran negara tidak terjejas meskipun suhu politik semakin panas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila Jemaah Menteri terus memberi tumpuan kepada isu kepentingan rakyat.-UTUSAN











