Netanyahu 'benarkan’ penduduk Palestin tinggalkan Gaza sebelum lancar serangan

Netanyahu ‘benarkan’ penduduk Palestin tinggalkan Gaza sebelum lancar serangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi cadangan untuk ‘membenarkan’ penduduk Palestin meninggalkan Semenanjung Gaza ketika tentera bersiap sedia melancarkan serangan lebih besar di wilayah itu.

Cadangan untuk memindahkan penduduk Gaza ke luar wilayah yang dilanda perang, termasuk yang pernah dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin dan kecaman daripada masyarakat antarabangsa.

Netanyahu mempertahankan dasar perangnya dalam satu wawancara dengan media Israel, yang disiarkan tidak lama selepas Mesir memaklumkan pihak pengantara rundingan gencatan senjata sedang memperbaharui usaha untuk mencapai gencatan selama 60 hari.

“Kami tidak mengusir mereka, tetapi kami membenarkan mereka keluar.

“Beri mereka peluang untuk keluar, pertama sekali dari zon pertempuran dan secara umum untuk meninggalkan wilayah ini jika mereka mahu,” tambahnya sambil merujuk kepada pelarian yang keluar semasa perang di Syria, Ukraine dan Afghanistan.

Di Semenanjung Gaza, Israel sejak sekian lama mengawal ketat sempadan dan menghalang ramai penduduk daripada keluar.

“Kami akan membenarkan perkara ini, pertama sekali di dalam Gaza semasa pertempuran dan kami sudah tentu akan membenarkan mereka meninggalkan Gaza juga,” kata Netanyahu.

Bagi penduduk Palestin, sebarang usaha mengusir mereka dari tanah sendiri mengingatkan kepada peristiwa Nakba atau malapetaka pada 1948, iaitu perpindahan besar-besaran rakyat Palestin semasa penubuhan negara haram Israel.

Netanyahu sebelum ini menyokong cadangan Trump untuk memindahkan lebih dua juta penduduk Gaza ke Mesir dan Jordan, sementara menteri-menteri sayap kanan Israel pula menggesa pemergian mereka secara sukarela.

Perancangan Israel untuk memperluaskan serangan ke Gaza berlaku ketika usaha diplomatik bagi mencapai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan dalam perang yang sudah berlarutan 22 bulan itu berdepan kebuntuan selama beberapa minggu, selepas pusingan rundingan terakhir gagal pada Julai lalu.

Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty berkata, Kaherah kini bekerja keras dengan kerjasama penuh bersama pihak Qatar dan AS untuk mencapai gencatan senjata selama 60 hari, dengan pembebasan beberapa tebusan dan tahanan Palestin, serta kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan ke Gaza tanpa sekatan dan tanpa syarat.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×