Gencatan senjata Ukraine-Russia pada 20 April ini?

Gencatan senjata Ukraine-Russia pada 20 April ini?

ORANG ramai melihat kesan kemusnahan pada bangunan pusat beli-belah yang dibedil tentera Russia di Odesa, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyasarkan perjanjian gencatan senjata bagi meredakan ketegangan pencerobohan Russia di Ukraine akan dicapai bulan depan walaupun pertempuran kini masih berterusan antara kedua-dua negara.

Rumah Putih meramalkan perjanjian gencatan senjata akan dilaksanakan pada 20 April ini, yang bertepatan dengan sambutan Easter di gereja-gereja Barat dan Ortodoks.

Menurut sumber, Kremlin kelihatan tidak tergesa-gesa untuk mencapai persetujuan dan masih terdapat jurang besar antara pendirian kedua-dua pihak dengan kemajuan setakat ini masih terhad.
Russia telah menetapkan tuntutan maksimum, termasuk menamatkan bekalan senjata kepada Ukraine, yang ditolak oleh Kyiv dan sekutunya.

GENCATAN SENJATA TERHAD

Ukraine dan Russia pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata terhad selepas kedua-dua negara itu mengadakan perbincangan singkat dengan Trump minggu lalu.

Perjanjian sementara ini muncul selepas Presiden Russia, Vladimir Putin menolak desakan Trump untuk gencatan senjata penuh selama 30 hari.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyuarakan harapannya untuk menyusun senarai sasaran yang akan dilindungi berdasarkan perjanjian tersebut.

“Satu daripada langkah pertama untuk menamatkan perang sepenuhnya adalah dengan menghentikan serangan terhadap tenaga dan infrastruktur awam yang lain,” katanya.

Walaupun terdapat kemajuan dalam rundingan, cabaran besar yang masih wujud adalah ketiga-tiga pihak mempunyai pandangan berbeza tentang apa yang harus dimasukkan dalam perjanjian gencatan senjata.

Trump juga mencadangkan perjanjian ekonomi dengan Ukraine, yang menurutnya akan memberikan AS kepentingan material dalam keselamatan negara itu selepas perang.

Namun, Rumah Putih memberikan isyarat yang mengelirukan mengenai masa depan perjanjian sumber daya tersebut.

RUNDINGAN DI RIYADH

Semalam, Menteri Pertahanan Ukraine, Rustem Umerov memaklumkan, rundingan terbaharu antara pegawainya dan AS di Riyadh dilaporkan berlangsung produktif.

“Kami telah menyelesaikan pertemuan dengan delegasi AS. Perbincangan ini produktif dan tertumpu kepada isu-isu utama, termasuk cadangan untuk melindungi keselamatan tenaga dan infrastruktur kritikal. Ukraine komited untuk merealisasikan matlamat mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya.

Pertemuan tersebut diadakan sebelum rundingan antara delegasi AS dan Russia, di mana utusan khas AS, Steve Witkoff menyuarakan keyakinan mengenai peluang untuk menamatkan konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Ke­dua itu.

“Saya yakin Presiden Russia, Vladimir Putin mahukan perdamaian. Saya percaya kita akan melihat kemajuan ketara di Arab Saudi, khususnya berkaitan gencatan senjata di Laut Hitam yang melibatkan kapal-kapal dari kedua-dua negara.

“Dari situ, kita akan bergerak ke arah gencatan senjata penuh,” kata Witkoff dalam wawancara bersama Fox News.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Mike Waltz pula menjelaskan bahawa Washington sedang membincangkan pelbagai langkah bagi membina keyakinan untuk menghentikan perang, termasuk menyentuh masa depan kanak-kanak Ukraine yang dibawa ke Russia.

Bagaimanapun, Kremlin memberi amaran agar tidak menaruh harapan tinggi terhadap penyelesaian segera, sambil menegaskan rundingan ini hanyalah permulaan dan bakal melalui fasa perbincangan yang sukar.

“Kami baru sahaja memulakan proses ini. Masih banyak persoalan yang perlu dirungkai, termasuk mekanisme pelaksanaan sebarang gencatan senjata yang mungkin dipersetujui,” ujar jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dalam temubual bersama media Russia.

Walaupun kedua-dua pihak mengemukakan cadangan gencatan senjata sementara, serangan terus berlaku tanpa henti.

Serangan udara Russia ke atas ibu kota Kyiv mengorbankan tiga orang awam, termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan bapanya.

Ukraine turut melancarkan serangan balas menggunakan dron yang menyebabkan dua kematian di Russia.

PELUANG KERJASAMA

“Masih ada rundingan sukar yang menanti. Kami akan membincangkan persetujuan Putin untuk menyambung semula inisiatif Laut Hitam dan delegasi kami bersedia membincangkan butiran berkaitan isu ini,” kata Peskov.

Moscow sebelum ini menarik diri daripada perjanjian yang diusahakan Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023, mendakwa Barat gagal memenuhi janji untuk melonggarkan sekatan terhadap eksport hasil pertanian dan baja Russia.

Peskov turut menegaskan bahawa potensi kerjasama saling menguntungkan antara negara juga sangat besar.

“Kami mungkin berbeza pandangan dalam beberapa perkara, namun itu tidak bermakna kita harus mengetepikan peluang kerjasama demi manfaat bersama,” tambahnya.

Zelensky menggesa sekutunya smeningkatkan tekanan ke atas Russia bagi menamatkan perang.

“Russia yang melengah-lengahkan perang ini. Keputusan baharu dan tekanan berterusan ke atas Russia amat diperlukan bagi menghentikan serangan ini dan menamatkan perang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN