Peluang ekonomi baharu tarik bakat Sarawak pulang - Utusan Malaysia

Peluang ekonomi baharu tarik bakat Sarawak pulang

MOHAMAD MORSHIDI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Perkembangan industri berasaskan teknologi, semikonduktor, hidrogen dan tenaga di Sarawak kini membuka ruang lebih luas untuk menarik semula bakat tempatan yang sebelum ini memilih membina kerjaya di luar negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, perkembangan itu berlaku apabila Sarawak bukan sahaja mempergiat usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah membangunkan peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi baharu yang memerlukan kepakaran teknologi dan kemahiran khusus.

Katanya, sebelum ini sebahagian bakat anak tempatan yang melanjutkan pengajian di luar Sarawak dan luar negara memilih untuk terus berada di sana kerana kekurangan peluang pekerjaan yang bersesuaian di negeri itu.

“Dahulu, ramai bakat kita yang belajar di luar Sarawak dan luar negara terus kekal di sana kerana tiada peluang untuk mereka.Sekarang Sarawak bukan sahaja melatih mereka, tetapi kita juga mewujudkan peluang kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.

Menurut beliau, perkembangan sektor teknologi, ekonomi angkasa, tenaga, hidrogen dan semikonduktor kini menyediakan ruang baharu kepada anak Sarawak untuk membina kerjaya tanpa semestinya meninggalkan negeri itu.

Katanya, perubahan berkenaan perlu dilihat sebagai satu proses yang berlaku secara berperingkat apabila pembangunan teknologi mewujudkan permintaan baharu terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Kita bergerak ke ekonomi angkasa, teknologi dan tenaga. Kita juga sedang membangunkan sektor hidrogen.Apabila kita mewujudkan lebih ramai tenaga kerja dengan latar belakang seperti ini, peluang pekerjaan juga akan berkembang,” katanya.

Menurut Mohamad Morshidi, perkembangan sama turut berlaku dalam sektor hidrogen apabila tenaga kerja yang mempunyai kepakaran berkaitan mula melihat peluang untuk kembali ke Sarawak.

Katanya, sektor minyak dan gas juga masih mempunyai peranan dalam menyediakan peluang kepada tenaga kerja tempatan, khususnya apabila industri tradisional berkenaan turut melalui proses pendigitalan dan automasi.

“Semuanya perlu bergerak sebagai satu trend dan pergerakan yang selari dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Dalam usaha memenuhi keperluan tenaga kerja tersebut, Sarawak turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat melalui institusi pendidikan dan latihan kemahiran.

Jelasnya, antara bidang latihan yang diberi perhatian termasuk teknologi hidrogen, pemasangan gentian optik, peralatan menara telekomunikasi, penyelenggaraan pesawat dan teknologi dron.

“Pembangunan tenaga kerja tidak boleh hanya tertumpu kepada pendidikan akademik, sebaliknya perlu meliputi kemahiran teknikal yang diperlukan industri.

“Di Sarawak kita mempunyai beberapa institusi latihan. Di peringkat kemahiran, kita mempunyai pusat seperti Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEX) dan ICATS serta banyak lagi.

“Kita melatih mereka dalam pelbagai bidang termasuk hidrogen, fibreisation, peralatan menara dan penyelenggaraan pesawat. Tidak lama lagi, kita juga akan memberi tumpuan kepada dron,” katanya.

Tambahnya, usaha membangunkan bakat tempatan penting bagi memastikan peluang yang terhasil daripada transformasi ekonomi dapat dinikmati anak Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN