Liputan digital Sarawak meningkat kepada 94 peratus - Utusan Malaysia

Liputan digital Sarawak meningkat kepada 94 peratus

MOHAMAD MORSHIDI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Liputan infrastruktur ketersambungan digital di Sarawak melonjak daripada 54 peratus kepada 94 peratus, sekali gus meletakkan negeri itu pada fasa baharu pembangunan ekonomi digital yang kini beralih daripada perancangan kepada pelaksanaan teknologi secara lebih agresif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, pencapaian itu mencerminkan sebahagian besar sasaran awal pembangunan ekonomi digital Sarawak telah berjaya dicapai, dengan kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada sasaran berkenaan telah direalisasikan.

Katanya, tumpuan selepas ini adalah memperluas penggunaan teknologi dalam sektor swasta dan industri, termasuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), pertanian berketepatan tinggi, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan (FinTech).

“Sekarang kita berada di peringkat pelaksanaan. Sebelum ini lebih banyak perancangan, pendedahan dan melihat teknologi yang sesuai untuk digunakan. Kita melihat kepada pengalaman pengguna di samping pelaksanaan supaya kita dapat mengembangkan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Menurut Mohamad Morshidi, peningkatan liputan ketersambungan itu membolehkan lebih ramai rakyat mengakses internet untuk pendidikan, menjalankan perniagaan, menjual produk secara dalam talian serta menggunakan pelbagai perkhidmatan digital.

Beliau berkata, SDEC ditubuhkan pada 2020 bagi mempercepatkan penggunaan teknologi, khususnya dalam sektor swasta yang menjadi antara komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Katanya, penerapan teknologi membolehkan syarikat meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kapasiti pengeluaran, selain membuka ruang kepada lebih banyak inovasi serta peluang perniagaan.

“Tujuan SDEC adalah untuk mempercepatkan penggunaan teknologi oleh sektor swasta kerana mereka adalah bahagian penting dalam ekonomi. Apabila mereka menggunakan teknologi, lebih mudah untuk mereka meningkatkan pengeluaran dan menjadi lebih cekap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN