KUCHING: Kuching, Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti kecerdasan buatan (AI) global tahun depan apabila Sarawak menjadi tuan rumah World Innovation, Technology and Services Alliance (WITSA) Global AI Summit 2027, bersempena penganjuran edisi ke-10 Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penganjuran itu akan membawa bersama beberapa platform antarabangsa termasuk WITSA Global AI Awards, WITSA World Cup for the Zohari Challenge Trophy serta pelancaran edisi kedua WITSA Global AI Index, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada Sarawak untuk menghubungkan ekosistem teknologinya dengan jaringan global.
“Sidang kemuncak berkenaan dijangka menghimpunkan pemimpin industri teknologi, kerajaan dan pemain dalam ekosistem inovasi, selain menyediakan ruang untuk kerjasama dalam teknologi, pelaburan, penyelidikan dan dasar.
“Penganjuran tersebut turut memperkukuh hubungan Sarawak dengan WITSA menerusi Global AI Ecosystem Network, yang menghubungkan ekosistem AI Sarawak dengan rakan antarabangsa.
“Bagi Sarawak, jaringan itu berpotensi memperluas hubungan dalam bidang teknologi dan penyelidikan, selain membuka akses kepada kepakaran, pelaburan dan pasaran antarabangsa,” katanya dalam ucapan sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.
Menurut beliau, antara komponen penting yang akan dibawa ke Kuching ialah edisi kedua WITSA Global AI Index, yang menyediakan gambaran berasaskan bukti mengenai perkembangan ekosistem AI di seluruh dunia.
“Indeks berkenaan meliputi beberapa komponen utama termasuk infrastruktur, bakat, keusahawanan, penggunaan AI, data, dasar dan pelaburan.
“Ia boleh menjadi rujukan kepada kerajaan dan industri dalam menilai perkembangan ekosistem AI serta memahami bidang yang membentuk daya saing teknologi di peringkat global.
“Penglibatan Sarawak dalam platform berkenaan juga memberi peluang kepada negeri itu untuk memperkukuh keterlihatan dalam ekosistem AI antarabangsa, khususnya ketika usaha membangunkan kapasiti tempatan dalam teknologi berkenaan sedang dipergiat,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran WITSA Global AI Summit 2027 akan menjadi sebahagian daripada kesinambungan IDECS sebagai platform yang menghimpunkan kerajaan, industri, universiti, penyelidik, usahawan dan rakan antarabangsa.
“Pada IDECS 2026, empat bidang utama diberi penekanan iaitu AI, inovasi semikonduktor, pembangunan bakat digital dan ekonomi angkasa. Keempat-empat bidang itu semakin saling berkait, dengan perkembangan dalam satu teknologi berpotensi membuka peluang baharu dalam sektor lain.
“Sebagai contoh, pembangunan AI memerlukan gabungan infrastruktur pengkomputeran, data dan bakat, manakala teknologi semikonduktor pula menjadi asas kepada pengkomputeran berprestasi tinggi dan pelbagai aplikasi AI.
“Begitu juga ekonomi angkasa yang menghimpunkan keupayaan dalam elektronik, semikonduktor, komunikasi, perisian, analitik data dan AI,” katanya.
Jelas beliau, pendekatan berasaskan ekosistem itu penting bagi memastikan pembangunan teknologi tidak bergerak secara berasingan, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada kerjasama penyelidikan, inovasi, pelaburan dan peluang perniagaan.
“Dengan IDECS bakal memasuki edisi ke-10 tahun depan, penganjuran WITSA Global AI Summit 2027 memberikan dimensi antarabangsa yang lebih besar kepada usaha Sarawak membangunkan ekonomi berasaskan teknologi.
“Ia juga memberi peluang kepada Kuching untuk menjadi lokasi pertemuan antara pemain industri, pelabur, penyelidik, kerajaan dan komuniti inovasi dalam membentuk jaringan ekonomi digital dan teknologi masa depan,” katanya. –UTUSAN











