KUALA TERENGGANU: Kumpulan Klinik Ikram, milik penuh bumiputera menyasarkan pembukaan sebanyak 50 cawangan klinik di seluruh negara pada akhir 2027.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Dr. Ahmad Samhan Awang berkata, setakat ini, sebanyak lapan cawangan telah dibuka di Terengganu, Kelantan dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan permintaan meningkat dengan mendadak terhadap segmen penjagaan kesihatan daripada golongan pertengahan dan berpendapatan tinggi.
Katanya, kos untuk pembukaan sesebuah klinik termasuk kerja ubah suai, peralatan, ubat-ubatan dan kakitangan adalah sekitar RM500,000.
“Lapan cawangan sedia ada adalah lima di Terengganu, dua di Kuala Lumpur dan satu di Kelantan. Untuk tahun ini, kita akan buka dua lagi klinik, masing-masing di Shah Alam, Selangor dan Alor Setar, Kedah.
“Untuk perancangan sehingga 2027, kita merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di Lembah Klang, Johor dan utara tanah air kerana terdapat permintaan yang tinggi dan sebagai strategi untuk meluaskan rangkaian kumpulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ahmad Samhan memberitahu, pada masa ini, kumpulan klinik tersebut menawarkan perkhidmatan rawatan kesihatan bagi tempoh 24 dan doktor ke rumah.
Katanya, perkhidmatan tersebut tidak banyak ditawarkan klinik lain kerana kekurangan kepakaran dan tenaga kerja khususnya di Pantai Timur.
“Dari awal penubuhan pada 2018, Klinik Ikram sememangnya memberi fokus kepada dua jenis perkhidmatan ini yang jarang ditawarkan.
“Kita mempunyai doktor dan jururawat yang terlatih serta mahir untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut,” katanya. – UTUSAN










