KUANTAN: Masalah ketiadaan bekalan elektrik di Klinik Kesihatan Balok yang berpunca daripada kerosakan komponen ELCB pada kotak pengagihan elektrik (DB Box) mencetuskan kebimbangan apabila ia menjejaskan operasi harian petugas kesihatan dan pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti tersebut.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, kerja-kerja penggantian komponen sudah dijalankan, namun penilaian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Saya sudah berhubung dengan Kementerian Kesihatan serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) agar kajian menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti keperluan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di Klinik Kesihatan Balok,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ahmad Farhan berkata, langkah itu penting supaya fasiliti kesihatan tersebut berada dalam keadaan lebih baik dan mampu memenuhi keperluan masyarakat untuk jangka masa panjang.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan Klinik Kesihatan Balok yang terus komited memberikan perkhidmatan terbaik meskipun berdepan cabaran teknikal.
Katanya, pihaknya akan terus mengikuti perkembangan isu ini dan memastikan segala tindakan sewajarnya dapat diselaraskan bersama agensi berkaitan demi kepentingan rakyat dan komuniti setempat. – UTUSAN










