Aliran akaun wang Ikram diteliti dari 2018 - Utusan Malaysia

Aliran akaun wang Ikram diteliti dari 2018

AZAM Baki berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara SPRM dengan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) Nilai, Negeri Sembilan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aliran pemindahan wang berhubung kes penyelewengan dana bernilai RM230 juta melibatkan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) sedang dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan bukan sahaja membabitkan tempoh 2025, sebaliknya dari 2018 hingga kini.

Katanya, SPRM sedang mendapatkan maklumat daripada institusi perbankan yang dijangka diperoleh sekurang-kurangnya seminggu.

“Kita sedang mendapatkan banyak lagi maklumat dan keterangan termasuk menunggu pengesahan daripada bank bagi mengetahui berapa banyak wang masuk ke dalam akaun peribadi mana-mana pihak.

“Kita nak secepat mungkin tetapi bank biasanya ambil masa paling cepat dalam tempoh seminggu,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara SPRM dengan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) Nilai, Negeri Sembilan semalam.

Azam berkata, terdapat petunjuk jelas bahawa wang berkenaan disalahgunakan untuk kepentingan peribadi termasuk bagi pembelian aset.

Katanya, SPRM turut menyiasat Ikram dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil bagi membantu siasatan termasuk ahli keluarga suspek.

“Mana-mana pihak yang namanya terlibat menerima wang berkenaan kita akan panggil untuk siasatan. Jadi, saya jangka apabila mendapat akaun bank yang menunjukkan banyak lagi pihak yang menerima wang terbabit, kita akan panggil untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.

Azam berkata, perlu ada mekanisme atau undang-undang baharu bagi mengawal dan menyelia setiap wang yang masuk dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikutan kes seumpama itu berlaku beberapa kali sebelum ini.

“Setakat ini, tiada undang-undang yang boleh memantau wang masuk dalam NGO menerusi pelbagai platform termasuk ‘tunggang agama’, masyarakat memberikan derma untuk diurus, tetapi disalahgunakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN