Google labur RM61 bilion

Google labur RM61 bilion

ANWAR Ibrahim melancarkan acara Mantap Malaysia Bersama AI di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Ruth Porat (tiga dari kanan), Gobind Singh Deo, Zambry Abd. Kadir dan Fahmi Fadzil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Google mengumumkan rancangannya bagi pembangunan infrastruktur digital yang bertanggungjawab di Malaysia, termasuk pelaburan sebanyak AS$15 bilion (RM61 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pelan bersepadu Google me­rangkumi pembangunan kampus pusat data yang cekap tenaga di zon perindustrian serta kerjasama baharu untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, memperkukuh jaminan bekalan air tempatan dan menambah kapasiti tenaga bersih melebihi 1 gigawatt (GW) kepada Grid Nasional Malaysia.

Pelaburan terbaharu itu meneruskan kehadiran Google selama lebih 15 tahun di Malaysia dan memperluas pelaburan infrastruktur digital syarikat yang diumumkan pada 2024.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu membuktikan keyakinan syarikat teknologi global terhadap kestabilan, keupayaan tenaga kerja serta cita-cita Malaysia untuk muncul hab digital di Asia Tenggara.

Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) dalam skala besar amat penting kepada dinamisme ekonomi negara, selain menyediakan modal bagi pengemba­ngan ekonomi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) global.

“Aliran masuk modal dengan magnitud sedemikian menyediakan ‘bahan api’ penting untuk pengembangan makro-ekonomi, ia membina kesan fizikal yang canggih, menandakan keyakinan berdaulat kepada pasaran global, dan meletakkan kedudukan kita di barisan hadapan revolusi AI global.

“Malaysia meraikan komitmen ini sebagai satu pencapaian yang monumental,” katanya berucap pada acara Mantap Malaysia Bersama AI di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Sasaran jangka panjang, apabila kemudahan itu mula beroperasi, pelaburan diunjurkan menyokong lebih 9,000 pekerjaan tempatan secara berterusan setiap tahun, dengan purata gaji 45 peratus lebih tinggi berban­ding median nasional.

Ia melibatkan jawatan khusus seperti juruteknik pusat data, jurutera mekanikal dan elektrikal serta pengurus operasi logistik.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kejayaan sesebuah pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai modal yang dibawa masuk semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi sumbangannya terhadap pemba­ngunan industri tempatan, modal insan dan pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menggariskan keper­luan memastikan setiap pelaburan menyokong agenda pembangunan jangka panjang negara.

“Dalam merealisasikan perancangan pelaburan ke Malaysia ini, Google telah bekerjasama dengan lebih daripada 80 entiti Malaysia merentasi kejuruteraan awam, sistem kuasa, spesifikasi IT yang memberi infrastruktur, dan logistik.

“Bukan atas dasar kewajipan, tetapi kerana syarikat Malaysia cekap, berdisiplin, dan berdaya saing pada terma bertaraf dunia,” katanya.

Pelaburan Google itu dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion (RM4.48 bilion) setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang fasa pembinaan.

Selain itu, ia turut membuka lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setiap tahun.

Sementara itu, Ruth Porat berkata, pelaburan bagi tempoh 2027 hingga 2028 itu akan memperluas infrastruktur digital syarikat menerusi pembangunan kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, pengembangan itu meneruskan pembangunan kampus pusat data pertama Google di Elmina Business Park, Selangor yang kini beroperasi sepenuhnya.

“Saya amat berbesar hati untuk meneruskan usaha itu dan mengumumkan pelaburan AS$15 bilion di Malaysia.

“Kami amat teruja untuk memperluas infrastruktur digital di sini secara bertanggungjawab, melabur dalam pengurusan sumber dan inisiatif tenaga bersih, selain program peningkatan kemahiran baharu bagi membuka peluang ekonomi kepada rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, fasa pembinaan itu dijangka menjana purata pendapatan tenaga kerja tahunan sebanyak AS$378 juta (RM1.54 bilion), termasuk menyediakan 6,000 pekerjaan dalam sektor pembinaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini