Kepimpinan bukan sekadar capai matlamat - Utusan Malaysia

Kepimpinan bukan sekadar capai matlamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keberkesanan kepimpinan tidak seharusnya diukur berdasarkan kejayaan mencapai matlamat organisasi , sebaliknya turut dinilai menerusi kesan keputusan terhadap pihak lain yang berkepentingan serta masyarakat.

Dalam keadaan kepentingan pelbagai pihak sering bertembung, pemimpin perlu memastikan setiap keputusan dibuat dengan mengambil kira implikasi jangka panjang, termasuk terhadap golongan yang tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan kepentingan mereka.

Pengerusi MZR Group Sdn. Bhd., Dr. Mohd Fauzi Shaffie berkata, dalam hal ini, keupayaan menyatukan orang ramai dan meraih sokongan bukan jaminan seseorang pemimpin mampu membawa organisasi ke arah yang betul.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, keberanian membuat keputusan sukar dengan mempertimbangkan kesan terhadap semua pihak merupakan antara tanggungjawab penting yang perlu dipikul seseorang pemimpin.

“Ciri-ciri ini mungkin bernilai, tetapi ia tidak mencukupi. Seseorang pemimpin mungkin mampu memberi inspirasi kepada ribuan orang, namun masih membawa organisasi ke arah yang salah.

“Seorang pemimpin juga mungkin berjaya menyatukan orang ramai di sebalik sesuatu perjuangan tanpa mempertimbangkan kesan daripada tindakan tersebut dengan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, cabaran kepimpinan menjadi semakin kompleks apabila pemimpin perlu mengimbangi kepentingan berbeza dalam keadaan semua pihak mengharapkan keputusan yang memihak kepada mereka.

Justeru, pemimpin perlu mempunyai hala tuju jelas, membina kesepakatan, memahami pihak yang terkesan serta berpegang kepada prinsip integriti dan kebertanggungjawaban.

Pandangan itu turut dihuraikan menerusi buku terbaharunya, DUCK Leadership, yang menggariskan empat prinsip kepimpinan iaitu Direction (Hala Tuju), Unity (Penyatuan), Connection (Hubungan) dan Keystone (Prinsip Teras).

Buku berkenaan dilancarkan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Fauzi turut berkata, kerangka berkenaan bukan bertujuan menentukan keputusan yang perlu dibuat seseorang pemimpin, sebaliknya membantu mereka mengenal pasti tanggungjawab dan pertimbangan yang perlu diberi perhatian sebelum bertindak.

“DUCK tidak memberitahu pemimpin apa yang perlu diputuskan. Sebaliknya, ia membantu mereka memahami perkara yang perlu dihadapi dalam setiap keputusan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini