PETALING JAYA: Sukan Combat Archery mula mencuri perhatian di Sabah apabila diperkenalkan buat julung kalinya menerusi pertandingan anjuran Hardy Adventure Team sempena Karnival Belia Tuaran 2026.
Penganjuran sulung itu menyaksikan sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik penyertaan 12 pasukan dari sekitar Tuaran, Kota Kinabalu dan Tamparuli, sekali gus membuka ruang kepada golongan belia meneroka sukan rekreasi berkonsepkan strategi, ketangkasan dan kerja berpasukan.
Penyelaras program, Nur Aleeya Farhana berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sukan Combat Archery yang menggabungkan kemahiran memanah, ketangkasan fizikal dan strategi berkumpulan.
Menurutnya, sukan itu menawarkan pengalaman berbeza berbanding memanah tradisional kerana peserta perlu bergerak aktif, mengelak serangan anak panah serta menyusun strategi bersama ahli pasukan untuk memenangi permainan.
“Combat Archery bukan sahaja menguji kemahiran memanah, malah memerlukan kerjasama, ketangkasan dan strategi yang baik dalam kalangan ahli pasukan.
“Kami berharap pengenalan sukan ini dapat menarik minat lebih ramai golongan belia untuk mencuba aktiviti baharu yang sihat dan mencabar,” katanya dalam kenyataan.
Pertandingan itu turut mendapat kunjungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang hadir bersama pasukan Hardy ke lokasi pertandingan.
Beliau turut berpeluang menyaksikan aksi peserta selain mencuba sendiri sukan berkenaan.
Sementara itu, seorang peserta daripada pasukan Abi Waqqas, Usman Yusof yang juga pemanah profesional berkata, Combat Archery memberikan pengalaman unik kerana berbeza daripada sukan memanah konvensional.
“Sukan ini sangat menarik, rasa seperti betul-betul berada dalam peperangan.
“Kami juga dapat belajar bekerjasama dalam kumpulan serta memperbaiki strategi taktikal dan ketahanan stamina bagi membentuk pasukan yang lebih mantap,” katanya.
Pertandingan itu menyaksikan pasukan CFM muncul juara, diikuti Abi Waqqas di tempat kedua, manakala Kampung Gayang menduduki tempat ketiga.
Program berkenaan merupakan antara pengisian Karnival Belia Tuaran 2026 yang dirasmikan Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, yang juga Pengerusi Bersama Karnival Tamu Belia Tuaran 2026.
Inisiatif itu diharap dapat menjadi platform memperkenalkan sukan baharu kepada masyarakat, selain mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat berpasukan dan mencungkil bakat baharu dalam sukan memanah di Sabah.-UTUSAN









