KUALA LUMPUR: Pembeli yang memesan barangan dan bayaran dibuat semasa penghantaran (COD), tidak boleh ‘lari’ dan perlu menjelaskan pembayaran susulan cadangan kerajaan untuk memperkemas penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang.
Ketika ini tiada kerangka perundangan yang boleh diguna pakai bagi melindungi peniaga sekiranya pembeli COD, membatalkan pesanan pada saat akhir.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, kementeriannya sedang menggubal RUU e-Dagang bagi memperjelas tanggungjawab pembeli untuk menyempurnakan pembayaran bagi barangan yang telah disahkan dan dihantar mengikut terma transaksi.
Katanya, penggubalan RUU itu juga akan membendung amalan pembatalan pesanan secara sewenang-wenangnya ketika barangan sedang dalam proses penghantaran.
“Selain itu, kementerian turut memberi perhatian kepada prinsip kesaksamaan dalam hubungan antara platform e-Dagang dengan peniaga termasuk memastikan syarat perkhidmatan berkaitan transaksi COD adalah telus, adil dan munasabah serta tidak menjejaskan aliran tunai atau meningkatkan beban kos logistik yang ditanggung oleh peniaga tempatan.
“Kementerian juga komited dalam memastikan transaksi COD kekal selamat, adil dan bebas daripada penipuan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berhubung jumlah aduan transaksi COD bagi tempoh 2023 hingga 2026 serta langkah kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna, peniaga dan penghantar barang.
Bagi perlindungan pengguna, Armizan berkata, transaksi COD tertakluk kepada Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 yang berkuat kuasa pada 25 Disember 2024.
Katanya, di bawah kerangka perundangan itu, peniaga perlu memastikan maklumat barang atau perkhidmatan yang ditawarkan, harga, kos penghantaran, kaedah pembayaran serta terma dan syarat transaksi adalah benar dan tidak mengelirukan.
“Peraturan yang sama turut mewajibkan pengendali pasar dalam talian mengambil langkah yang munasabah untuk menyimpan rekod peniaga dan transaksi perdagangan elektronik selama tiga tahun.
“Rekod ini penting bagi membantu proses pengesanan dan tindakan penguatkuasaan jika berlaku aduan atau pertikaian,” katanya.
Berhubung perlindungan penghantar barang dalam transaksi COD pula, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) bertanggungjawab terhadap aspek kawal selia operasi perkhidmatan p-hailing.
Kata Armizan, aspek kebajikan dan perlindungan pekerja gig tertakluk di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia.
Mengenai aduan berkaitan transaksi COD, beliau berkata, sebanyak 88 aduan diterima melalui Sistem eAduan kementerian bagi tempoh Januari 2023 hingga Ogos 2026.
Katanya, aduan tertinggi melibatkan barang atau perkhidmatan yang diterima tidak seperti ditawarkan iaitu sebanyak 26 aduan atau 30 peratus daripada keseluruhan aduan.
“Ia diikuti perihal perdagangan palsu sebanyak 14 aduan atau 16 peratus serta barang tiruan sebanyak 10 aduan atau 11 peratus.
“Jumlah aduan yang diterima turut menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 10 aduan pada 2023, 14 aduan pada 2024, 18 aduan pada 2025 dan 46 aduan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026,” katanya.
Beliau turut menyarankan semua pihak dalam rantaian COD memastikan tanggungjawab masing-masing serta prosedur pemulangan atau penolakan barang dinyatakan dengan jelas sebelum transaksi dilaksanakan. – UTUSAN











