PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam melepas dan membebaskan pendakwah selebriti Da’i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful atas pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.
Keputusan majoriti 2-1 itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan Da’i Syed selaku perayu.
“Sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat, rayuan perayu dibenarkan, hukuman pemenjaraan 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Dengan keputusan majoriti itu, Da’i Syed terlepas daripada hukuman 10 tahun dan tiga sebatan yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.
Sejurus selepas keputusan tersebut, Da’i Syed yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menangis.
Dalam penghakiman majoriti, mahkamah mendapati antara isu utama adalah kelewatan mangsa membuat laporan polis iaitu selepas 441 hari selain tiada rasa cemas selepas kejadian rogol berlaku.
“Mahkamah turut meneliti kelakuan pengadu (mangsa yang juga saksi pendakwaan pertama) sebelum, semasa dan selepas kejadian termasuk komunikasi antara pengadu dan perayu (Da’i Syed) menerusi aplikasi WhatsApp serta Instagram.
“Dalam hujahan pembelaan, peguam perayu berhujah anak guamnya tidak pernah menafikan berlaku hubungan seks dengan pengadu namun menegaskan ia dilakukan atas kerelaan wanita terbabit,” katanya.
Hakim Azman berkata, pembelaan berhujah, mangsa mempunyai beberapa peluang untuk meninggalkan perayu atau meminta bantuan termasuk ketika mereka makan di sebuah restoran selama kira-kira tiga jam.
Sebaliknya, mahkamah mendapati mangsa memilih untuk bermalam di rumah perayu sebelum pulang keesokan harinya menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab.
“Pengadu juga didakwa menghantar mesej memaklumkan sudah selamat tiba kepada perayu selepas pulang.
“Selain itu, rekod komunikasi antara September hingga Disember 2019 menunjukkan mangsa beberapa kali memulakan perbualan, mendapatkan perhatian perayu, memujinya dan mengajak lelaki itu berjumpa lagi,” katanya.
Sementara itu, Hakim Meor Hashimi yang memberikan keputusan bertentangan berpandangan rayuan Da’i Syed terhadap sabitan dan hukuman itu tidak bermerit serta wajar ditolak.
“Pada hemat saya, Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak melakukan apa-apa kekhilafan undang-undang atau fakta dalam keputusannya dan dengan itu, rayuan perayu adalah tidak bermerit dan ditolak,” katanya.
Katanya, masalah kemurungan dan gangguan kesihatan mental yang dialami mangsa menjadi punca wanita itu tidak berupaya memberikan kerelaan dalam hubungan seks dengan perayu.
“Perayu mengambil kesempatan terhadap masalah kemurungan berpanjangan yang dialami mangsa. Mengenai kelewatan laporan polis, mangsa hanya membuat laporan pada 25 November 2020, selepas menceritakan kejadian itu kepada rakannya pada 23 November tahun sama.
“Mangsa menjelaskan kelewatan itu kerana tidak bekerja, tidak mempunyai sumber kewangan untuk melantik peguam dan tidak mengetahui kes jenayah akan dikendalikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Dalam pada itu, Hakim Azman turut menasihatkan Da’i Syed agar tidak menggunakan populariti untuk mengambil kesempatan terhadap individu yang berada dalam keadaan terdesak.
“Perbuatan mengambil kesempatan terhadap individu yang terganggu emosinya boleh mencemarkan nama baik golongan membawa imej agama,” katanya.-UTUSAN.











