PUTRAJAYA: Penceramah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan di sini semalam daripada menjalani hukuman penjara atas kesalahan merogol.
Untuk rekod, pemohon dikenali sebagai Da’i Syed, sudah menjalani hukuman selama 21 hari di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Januari lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kes merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.
Penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu dibenarkan sebulat suara oleh Hakim Datuk Azmi Ariffin yang bersidang bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dengan beberapa syarat selepas mendengar dan membaca penghujahan bertulis kedua-dua pihak.
Hakim Azmi memerintahkan pemohon dikenakan jaminan berjumlah RM40,000 dengan dua penjamin dan pasport antarabangsa yang diserahkan kekal disimpan di mahkamah.
Mahkamah juga mengarahkan pemohon melaporkan diri di balai polis antara 1 hingga 5 hari bulan setiap bulan bermula Mac ini sehingga rayuan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Sekiranya berlaku pelanggaran syarat tersebut, mahkamah menegaskan jaminan tersebut akan dibatalkan serta-merta.
Jelasnya, panel mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon untuk dilepaskan sementara dengan jaminan sehingga proses rayuan diputuskan di Mahkamah Rayuan.
“Antara alasan yang dicapai adalah pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi. Jadi, pada khidmat kami, tidak wujudnya risiko ketidakhadiran pemohon di peringkat rayuan nanti.
“Mahkamah juga mengambil pertimbangan oleh peguam pemohon bahawa ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan,” katanya.
Pemohon diwakili peguam, M. Athimulan manakala Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim @ Hussaini bertindak selaku responden.
Sepanjang prosiding, ahli keluarga Da’i Syed turut hadir termasuk isterinya, Hana Ismail yang kemudian dilihat sempat memeluk suaminya selepas keputusan mahkamah itu.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, pada pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan dia daripada pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan. – UTUSAN










