Hanya RM30 juta bukan RM250 juta untuk KB Sentral-Exco Kelantan - Utusan Malaysia

Hanya RM30 juta bukan RM250 juta untuk KB Sentral-Exco Kelantan

DR. IZANI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan hanya meluluskan peruntukan RM30 juta bagi projek pembangunan Kota Bharu Central (KB Central), bukannya RM250 juta sebagaimana diumumkan pada Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, jumlah itu berdasarkan surat kelulusan rasmi yang diterima kerajaan negeri.

“Peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek ini ialah RM30 juta, bukannya RM250 juta seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, peruntukan RM500 juta yang pernah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini juga masih belum diterima oleh kerajaan negeri. Kita masih menunggu proses penyalurannya diselesaikan,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Izani berharap hubungan baik antara Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri dapat dimanfaatkan bagi menyelesaikan tuntutan bayaran tunai petroleum negeri itu berdasarkan perjanjian 1975.

Katanya, Kelantan berpotensi memperoleh hasil sehingga RM2 bilion setahun daripada sumber berkaitan Kawasan Pembangunan Bersama (JDA).

Ujarnya, realisasi hak hasil berkenaan mampu memperkukuh kedudukan kewangan negeri, sekali gus membantu pembangunan infrastruktur, menyelesaikan masalah bekalan air dan meningkatkan kemudahan rakyat.

“Pembangunan negeri bukan soal belas ihsan, sebaliknya tanggungjawab bersama dalam semangat sebuah negara Persekutuan.

“Apa yang kita tuntut bukan hanya peruntukan tetapi hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi pembangunan serta kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya.

Sebelum ini Utusan Malaysia 31 melaporkan, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM250 juta kepada Kelantan sebagai bantuan untuk menyiapkan KB Sentral

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat 2026 di Masjid Jamek Muhammadi di sini.

Anwar berkata, surat pemakluman kelulusan peruntukan tersebut juga telah disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini