TELUK INTAN: Penternak lembu di sini mengeluh berikutan permintaan haiwan itu untuk sembelihan korban pada Aidiladha tidak lama lagi merosot berbanding sebelum ini.
Muhammad Zaini Muhammad Hassan, 59, dari Kampung Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini berkata, keadaan itu mungkin disebabkan faktor ekonomi selain saingan lembu yang dibawa masuk dari Thailand yang harganya lebih rendah.
Menurutnya, setakat ini hanya 15 ekor lembu ternakannya sudah mempunyai pembeli dan jumlah itu sangat rendah berbanding lebih 200 ekor yang ditempah pelanggan sebelum Aidiladha tahun lalu.
“Faktor ekonomi semasa mungkin menjadi sebab kurangnya tempahan lembu korban. Selain itu banyak lembu dari Thailand dibawa masuk ke Malaysia yang harganya lebih rendah walaupun saiz lembu Thailand lebih kecil dan kurus.
“Saya difahamkan jumlah lembu Thailand yang dibawa masuk ke negara ini bukan sedikit dan ini menjejaskan penternak tempatan.
“Saya anggarkan permintaan dan tempahan untuk ibadah korban kali ini berkurangan sehingga 70 peratus kerana tempahan masih rendah walaupun Aidiladha semakin hampir. Saya berharap tempahan akan meningkat menjelang Aidiladha nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, tahun lalu dia menjual lembu antara RM4,500 hingga RM6,500 seekor bagi korban berkelompok manakala bagi tempahan individu, berharga lembu yang dijual lebih tinggi.
Katanya, setakat ini dia mempunyai 800 ekor lembu dan termasuk lembu sado sebanyak 15 ekor namun tidak semua lembu tersebut sudah mencapai umur dan saiz untuk dijual.
“Tempahan merosot mungkin disebabkan tidak ramai orang mahu berkorban tahun ini kerana faktor kewangan, mungkin ramai ada keperluan lain yang lebih penting yang perlu diutamakan.
“Walaupun tempahan kurang, saya tetap bersyukur kerana masih ada yang membeli ternakan saya untuk korban tahun ini, mungkin pada masa akan datang tempahan kembali tinggi,” katanya. – UTUSAN










