PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap, sambutan Aidiladha kali ini menjadi medan memperteguh keimanan dan ketakwaan umat Islam kepada Allah SWT selain mempererat ukhuwah sesama insan.
Menurutnya, semangat pengorbanan, keikhlasan dan sifat ihsan perlu terus disuburkan dalam setiap amal serta kehidupan bermasyarakat.
“Semoga Aidiladha kali ini memperteguh keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, mempererat persaudaraan sesama insan serta menyuburkan semangat pengorbanan dan keikhlasan dalam setiap amal dan kehidupan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.
Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha bersama ribuan jemaah di Masjid Putra dalam suasana penuh kesederhanaan, keharmonian dan penghayatan takwa kepada Allah SWT.
Menurut Anwar, gema takbir Aidiladha turut dialunkan bersama-sama selain mendengar khutbah bertajuk “Pengorbanan Menuntut Keikhlasan”.
Katanya, khutbah itu mengingatkan bahawa pengorbanan sebenar bukan sekadar melibatkan harta dan tenaga, sebaliknya turut menuntut pengorbanan sifat ego, keangkuhan, kebencian serta segala perkara yang menjauhkan diri daripada rahmat dan reda Allah SWT.
“Khutbah turut menyeru para jemaah agar terus memperkukuh ukhuwah, menyemai sifat ihsan dan belas kasih sesama insan serta menjadikan semangat pengorbanan sebagai asas membina masyarakat yang bersatu, berakhlak dan saling peduli,” katanya.
Usai solat, beliau dan isteri turut meluangkan masa beramah mesra, bersalaman serta bergambar bersama para jemaah yang hadir bagi meraikan sambutan Aidiladha. – UTUSAN










