Tembak lembu: Polis rakam keterangan MB, rampas senapang patah dan peluru

Tembak lembu: Polis rakam keterangan MB, rampas senapang patah dan peluru

YUSHARIFUDDIN MOHD. YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis merakam keterangan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berhubung video tular beliau menembak seekor lembu sedang mengamuk pada program korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, berdasarkan keterangan Abu Bakar, tindakan itu diambil kerana ketika program, seekor lembu telah mengamuk dan mengancam petugas serta orang awam di kawasan tersebut.

Katanya, pihak polis turut merampas selaras senapang patah dipercayai digunakan oleh Menteri Besar serta rampasan sembilan butir peluru jenis buekshot untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan bahagian perlesenan ibu pejabat polis daerah Kangar mengesahkan Menteri Besar adalah pemegang lesen senjata api yang sah bagi senjata api jenis senapang patah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana melepaskan tembakan di tempat awam dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Abu Bakar tampil memberi penjelasan bagi mengelak salah faham atau kekeliruan berhubung video tular beliau menembak seekor lembu yang sedang mengamuk pada program korban perdana DUN Kuala Perlis di sini.

Abu Bakar berkata, lembu berkenaan yang terlucut tali telah mengamuk sekaligus telah mengundang mudarat kepada para petugas sebagaimana berlaku di lokasi-lokasi lain yang ada sehingga menyebabkan kematian.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis itu, beliau hanya menembak ke arah kaki lembu berkenaan dan selepas itu, proses penyembelihan dilakukan seperti biasa.

Sementara itu, Yusharifuddin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengundang sebarang provokasi terhadap mana-mana pihak.

“Pihak polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terlibat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian juga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Tengku Mohd. Farid Tengku Ibrahim di talian 019-9939200 atau 04-9082222.

“Kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai dalam memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN