California iktiraf Aidilfitri, Aidiladha sebagai cuti umum negeri

California iktiraf Aidilfitri, Aidiladha sebagai cuti umum negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SACRAMENTO: California secara rasmi mengiktiraf sambutan Aidilfitri dan Aidiladha sebagai cuti umum, menjadikannya negeri kedua di Amerika Syarikat (AS) berbuat demikian.

Undang-undang yang dikemukakan Ahli Dewan Perwakilan California, Matt Haney menerusi Assembly Bill 2017 (AB 2017) itu membolehkan kakitangan kerajaan negeri dan sekolah menyambut kedua-dua perayaan berkenaan dengan menggunakan kredit cuti peribadi sedia ada atau cuti yang diperuntukkan.

Undang-undang itu turut membenarkan sekolah dari peringkat tadika hingga gred 12 serta kolej komuniti ditutup sempena Aidilfitri dan Aidiladha, sekiranya penutupan berkenaan dipersetujui menerusi rundingan di peringkat tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Banyak negeri, bandar dan daerah sekolah di AS sudah mengiktiraf Aidilfitri dan Aidiladha di peringkat tempatan, namun belum menjadikannya cuti negeri. Washington menjadi negeri pertama yang mengiktiraf kedua-dua perayaan itu sebagai cuti negeri pada 2025.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) cawangan California menyambut baik tindakan Gabenor, Gavin Newsom menandatangani perundangan itu, menyifatkannya sebagai langkah menangani masalah berlarutan yang dihadapi lebih sejuta penduduk Islam di negeri itu yang sering terpaksa memilih antara menunaikan tuntutan agama atau hadir ke sekolah dan tempat kerja.

“Sudah terlalu lama, pelajar dan pekerja Islam di California terpaksa membuat pilihan sukar antara menyertai amalan keagamaan penting bagi kepercayaan mereka atau ketinggalan dalam tanggungjawab akademik dan pekerjaan.

“AB 2017 menghapuskan halangan struktur ini dan menyelaraskan dasar negeri dengan nilai keterangkuman, kesaksamaan serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi ciri negeri kita,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya.

CAIR, pertubuhan Islam terbesar di AS berkata, kelulusan undang-undang itu amat penting ketika Islamofobia di negara berkenaan semakin meningkat.

Menurut pertubuhan itu, pihaknya baru-baru ini merekodkan peningkatan 183 peratus dalam insiden yang menyasarkan masjid dan pusat Islam antara Mei hingga Julai berbanding tempoh tiga bulan sama tahun lalu.

“Pengiktirafan rasmi terhadap cuti ini menyampaikan mesej penting dan berkuasa bahawa California menghargai serta melindungi komuniti Islamnya ketika permusuhan terhadap mereka semakin meningkat,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×