CALIFORNIA: Cadangan mengenakan cukai sekali sahaja sebanyak lima peratus ke atas kekayaan bersih bilionair di California mencetuskan perdebatan antara usaha membiayai sektor kesihatan dengan kebimbangan kehilangan golongan kaya yang menyumbang kepada ekonomi negeri itu.
Menerusi Proposisi 40, pengundi California akan menentukan sama ada cukai itu wajar dikenakan terhadap individu yang mempunyai kekayaan bersih melebihi AS$1 bilion dan menetap di negeri itu pada 1 Januari 2026.
Cadangan dikemukakan Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Antarabangsa Pekerja Penjagaan Kesihatan United West (SEIU-UHW West) itu menyasarkan kutipan AS$100 bilion (RM408 bilion) bagi menampung kekurangan dana kesihatan susulan pemotongan peruntukan kerajaan persekutuan.
Penyokong cadangan itu berpendapat cukai berkenaan dapat memastikan golongan paling kaya membayar bahagian cukai yang sewajarnya, selain membantu merapatkan jurang kekayaan di negeri yang mempunyai jumlah bilionair tertinggi di dunia.
Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan daripada sebahagian golongan bilionair dan pemimpin negeri yang bimbang cukai berkenaan mendorong golongan kaya meninggalkan California, sekali gus menjejaskan hasil cukai pendapatan.
Gabenor California, Gavin Newsom, antara penentang utama cadangan itu, menyuarakan kebimbangan penghijrahan golongan kaya boleh menyebabkan negeri itu kehilangan hasil cukai yang penting.
Pengasas bersama Google, Sergey Brin, dilaporkan menyumbang lebih AS$100 juta (RM408 juta) kepada sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang membiayai usaha politik bagi menghalang pelaksanaan cukai berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, pula dilaporkan mempertimbangkan untuk memindahkan kediaman utamanya keluar dari California. Beliau dianggarkan berdepan cukai sehingga AS$12.5 bilion (RM51 bilion) sekiranya cadangan itu diluluskan.
Namun, langkah itu turut mendapat sokongan beberapa bilionair, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, yang berkata beliau tidak keberatan membayar cukai lebih tinggi apabila memperoleh pendapatan lebih besar.
Tinjauan pada September oleh Berkeley Institute of Governmental Studies bersama Los Angeles Times mendapati 45 peratus pengundi berkemungkinan menyokong cadangan itu, berbanding 42 peratus yang menentang, manakala 13 peratus belum membuat keputusan.
Profesor dasar awam di University of California, Berkeley, Francesco Trebbi, berkata cadangan itu mencerminkan sentimen menentang golongan elit dan sistem sedia ada, selain usaha mengimbangi semula jurang kekayaan di negeri berkenaan.- BBC










