GEORGE TOWN: Yayasan Mawar Pulau Pinang meneruskan misi kemanusiaannya apabila melaksanakan program korban di Sudan sempena sambutan Aidiladha pada tahun ini.
Program Korban Perdana itu berlangsung pada hari pertama Hari Raya Aidiladha dan turut disertai Datuk Bandar Wilayah Kosti di Sudan, Al-Sayyid Hisham Al-Sheikh Hassan.
Misi itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha membantu masyarakat yang terkesan akibat konflik serta krisis kemanusiaan di negara berkenaan.
Pengurus Yayasan Mawar Pulau Pinang, Farwah Ahmad Fahmi berkata, amanah korban yang dibawa pihaknya kali ini memberi fokus kepada golongan paling memerlukan termasuk pelarian, anak yatim, ibu tunggal serta fakir miskin.
Menurut beliau, antara lokasi utama tumpuan agihan ialah Kem Pelarian Quz Assalam yang kini menempatkan lebih 25,000 pelarian dengan majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.
“Program ini bukan sekadar ibadah korban, tetapi menjadi simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap saudara kita di Sudan yang sedang berdepan pelbagai kesukaran hidup akibat konflik berpanjangan.
“Kami mahu memastikan amanah korban daripada rakyat Malaysia benar-benar sampai kepada mereka yang amat memerlukan terutama pelarian, anak-anak yatim dan golongan miskin,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata, sebanyak 167 ekor lembu, 34 ekor kibas dan 68 ekor kambing disembelih serta diagihkan kepada penduduk di beberapa kawasan sekitar Nil Putih, Sudan.
Katanya, kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan di wilayah Kosti memudahkan proses agihan bantuan.
Farwah berkata, keadaan ekonomi yang tidak menentu serta kekurangan bekalan makanan menyebabkan ramai keluarga di Sudan bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan harian mereka. – UTUSAN










