Lebih 308,000 penduduk Sudan hilang tempat tinggal sejak Oktober 2025 - Utusan Malaysia

Lebih 308,000 penduduk Sudan hilang tempat tinggal sejak Oktober 2025

LEBIH 308,000 penduduk melarikan diri di tiga wilayah Sudan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Lebih 308,000 penduduk dilaporkan terpaksa me­larikan diri dan hilang tempat tinggal dari tiga negeri di wilayah Kordofan, Sudan sejak akhir Oktober 2025, menurut statistik terbaharu Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

IOM menerusi laporan pada Khamis mengesahkan bahawa pasukan lapangan merekodkan seramai 308,179 pelarian dari 1,327 lokasi merangkumi wilayah Kordofan Utara, Kordofan Barat dan Kordofan Selatan antara 25 Oktober 2025 hingga 1 September 2026.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan bahawa sebanyak 118 insiden pertempuran telah dikesan di wilayah berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia  sekali gus mencetuskan gelombang perpindahan penduduk secara besar-besaran.

Negeri Khartoum merekodkan penempatan pelarian tertinggi dari Kordofan dengan seramai 123,509 orang berteduh di sana.

Ia diikuti Kordofan Utara melibatkan 66,575 orang dan negeri White Nile seramai 40,237 orang.

Angka terbaharu ini me­nunjukkan peningkatan ketara berbanding data IOM terdahulu yang mencatatkan 219,319 pelarian dari wilayah Kordofan bagi tempoh antara 25 Oktober 2025 hingga 23 Jun 2026.

Wilayah Kordofan Utara, Barat dan Selatan menyaksikan pertumpahan darah dan pertempuran sengit antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) berikutan peningkatan konflik.

Kedua-dua pihak yang bertelagah terjerumus dalam krisis perang saudara sejak April 2023 yang setakat ini telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan memaksa jutaan penduduk Sudan menjadi pelarian di dalam negara mahupun melarikan diri ke negara jiran. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×