Projek PR1MA Rantau mesti disiapkan tahun ini - Utusan Malaysia

Projek PR1MA Rantau mesti disiapkan tahun ini

J. ARUL Kumar (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan ke projek Residensi Bandar Ekar (Rantau), Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Projek perumahan yang dibangunkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) iaitu Residensi Bandar Ekar (Rantau) di sini mesti disiapkan juga pada tahun ini supaya ia tidak terus membebankan pembeli yang telah menunggu untuk mendiaminya sejak tujuh tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar menegaskan, tiada sebab lagi untuk projek untuk tidak dapat disiapkan apatah lagi beberapa urusan dan pembayaran kepada kontraktor juga telah dilaksanakan.

“Sebelum ini saya diberitahu pada bulan Ogos ini projek ini boleh disiapkan dan pada suku ketiga tahun ini mereka boleh dapat  Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC). Tetapi kelmarin ketika saya melawat projek berkenaan bersama pemaju dan kontraktor namun diberitahu projek ini tidak dapat disiapkan pada bulan ini.

“Mereka berjanji mungkin dalam sebulan lagi projek ini dapat disiapkan, oleh itu saya minta mereka pastikan CCC diperoleh pada suku keempat tahun ini dan penyerahan kunci kepada pembeli dapat dibuat pada tahun ini juga.

“Saya membawa masalah yang dihadapi pembeli yang telah menanti sejak tujuh tahun lalu malah ada yang sudah membuat pembayaran penuh pembiayaan namun rumah masih belum disiapkan, jadi projek ini tidak boleh lagi dilewatkan,” katanya.

Arul Kumar menambah, jika berlaku lagi kelewatan bagi menyiapkan projek ini ia dilihat hanya akan menambahkan masalah kepada semua pihak.

“Projek ini hanya tinggal beberapa peratus sahaja lagi untuk disiapkan dan pemaju juga telah membuat pembayaran kepada kontraktor untuk menyiapkan projek ini.

“Selepas ini apa juga isu mereka mesti selesaikannya dan yang pastinya projek ini mesti disiapkan dalam tempoh sebulan dua ini, itu yang kerajaan negeri mahukan, itu sahaja, ia tidak boleh lagi dilewatkan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini beberapa kali melaporkan kekecewaan pembeli Residensi Bandar Ekar di Rantau di sini selepas projek berkenaan masih belum dapat disiapkan walaupun setelah dibeli mereka sejak tahun 2017.

Projek perumahan yang melibatkan pembinaan kira-kira 766 unit rumah, sebuah tadika, dewan serbaguna dan nurseri itu mula dibina pada tahun 2017 dan sepatutnya disiapkan pada tahun 2019, namun ekoran pelbagai masalah dihadapi, ia mengalami masalah lewat sehingga pernah dikategorikan sebagai projek sakit.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×