Percepatkan sijil kematian 54 rakyat Malaysia

Percepatkan sijil kematian 54 rakyat Malaysia

MOHAMAD Hasan ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Agung Kebangsaan PerSoNa Kali Ke-10 Sesi 2025 di Ayer Keroh, Melaka.-UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Nepal sedang meneliti pindaan undang-undang bagi mempercepat pengeluaran sijil kematian kepada 54 rakyat Malaysia yang hilang dan dipercayai tidak dapat dikesan, sekali gus membolehkan waris mereka menyelesaikan urusan berkaitan kewangan serta tuntutan insurans.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu sedang diuruskan melalui hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, termasuk perbincangan dengan Kedutaan Malaysia di Nepal dan Duta Nepal yang telah mengadakan kunjungan ke pejabatnya ming­gu lalu.

Menurutnya, kerajaan Nepal dijangka membentangkan cadangan pindaan undang-undang berkenaan di Parlimen negara itu bagi membolehkan sijil kematian dikeluarkan tanpa perlu menunggu tempoh yang panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Maklumat terakhir yang kita terima daripada kedutaan dan juga ketika Duta Nepal datang ke pejabat saya ming­gu lalu, kerajaan Nepal sedang berurusan dan akan membentangkan dalam Parlimen mereka untuk meminda undang-undang ini dengan segera.

“Sekurang-kurangnya, kalau tidak dapat dipinda, mereka akan membuat satu peruntukan khas untuk membolehkan sijil kematian dikeluarkan de­ngan segera kepada 54 rakyat Malaysia yang terus tidak dapat dihubungi dan dipercayai telah hilang tanpa dapat dikesan hingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional Malaysia (PerSoNa) Kali Ke-10 Sesi 2025 di Ayer Keroh, semalam.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, berdasarkan peraturan sedia ada di Nepal, sijil kematian boleh dikeluarkan bagi kes kematian yang disahkan, namun pro­ses bagi individu yang hilang dan tidak dapat dikesan mengambil masa sehingga tiga tahun.

Katanya, tempoh berkenaan menimbulkan kesukaran kepada keluarga terdekat mangsa, khususnya dalam menguruskan komitmen kewangan yang memerlukan pengesahan status kematian.

“Ini dapat memudahkan keluarga terdekat mereka untuk berurusan dengan bank, insurans dan pelbagai pihak lain.

“Perkara ini sedang kita uruskan dan insya-Allah, ia dalam proses. Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi memastikan penyelesaian yang bersesuaian dapat dicapai, terutama bagi membantu waris yang terkesan.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad berkata, kerajaan Malaysia turut membincangkan kemungkinan menyalurkan bantuan tambahan kepada Indonesia bagi membantu negara itu mena­ngani kebakaran hutan yang semakin tidak terkawal.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini