PDRM terima 30 laporan, Muhyiddin dirakam keterngan hari ini

PDRM terima 30 laporan, Muhyiddin dirakam keterngan hari ini

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 30 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bekas Perdana Menteri itu akan diambil keterangan di pejabat beliau di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Pihak polis akan merakam percakapan beliau esok (hari ini) di pejabatnya di MIDA.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan dijalankan Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Media semalam melaporkan Muhyiddin akan dipanggil akan diambil keterangan Selasa ini berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Razarudin berkata, ia susulan laporan polis diterima pihaknya berkaitan isu terbabit.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi hantaran di laman Facebook semalam, telah menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Tengku Hassanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Titahnya, kenyataan yang dikeluarkan itu juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

Dalam pada itu, sebagai reaksi, Muhyiddin menegaskan ucapan beliau di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu percaya, kenyataan beliau itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini