Pemilik kedai rugi RM3.4 juta terpedaya skim simpanan tetap

Pemilik kedai rugi RM3.4 juta terpedaya skim simpanan tetap

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang pemilik kedai barangan perkakasan untuk menggandakan wang simpanan tidak kesampaian bahkan rugi RM3.4 juta apabila menjadi mangsa penipuan skim simpanan tetap.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat oleh lelaki berusia 62 tahun yang mendakwa menjadi mangsa penipuan skim tersebut, Ahad lalu.

Katanya, dalam laporan itu, mangsa menjelaskan bahawa dia didatangi seorang wanita tempatan yang merupakan pengurus sebuah institusi perbankan di Kuala Lumpur yang menawarkan satu skim simpanan tetap dengan kadar faedah yang baik, Januari 2018.

“Tertarik dengan tawaran, mangsa telah membuat bayaran menggunakan 10 keping cek dengan nilai keseluruhan RM3.4 juta yang diserahkan secara serahan tangan kepada suspek di syarikatnya antara April 2019 hingga Mac tahun lalu.

“Menurut mangsa, pada 2020, mangsa pernah menerima faedah atas simpanan sebanyak RM70,000 dan membuatkan mangsa tidak mengesyaki apa-apa serta terus membuat penambahan simpanan.

“Namun pada awal Januari lalu, apabila mangsa ingin mengeluarkan faedah yang lain, suspek memberikan pelbagai alasan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kumar memberitahu, mangsa yang mula curiga telah membuat semakan dengan pihak perbankan berkenaan dan mendapati tiada simpanan tetap atas nama mangsa dan syarikatnya.

Tambahnya, mangsa turut memaklumkan bahawa semua resit pembayaran yang diberikan oleh suspek adalah palsu.

“Oleh hal yang demikian, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada sebarang tawaran yang diberikan.

“Dapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersil terkini dengan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN