‘Saya bukan katak politik’ - Utusan Malaysia

‘Saya bukan katak politik’

Dr. Muhammad Faiz Na’aman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

WALAUPUN pernah menentang calon Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Bagan Datuk, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, beliau tidak pernah ‘menghentam’ PKR selaku parti baharu yang disertainya pada minggu lalu, apalagi menjadikan pihak lawan sebagai seteru politik.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjawab mengapa beliau memilih PKR dan bukannya parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan seperti UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) selain menceritakan tujuan penghijrahan politik baharunya.

 

UTUSAN MALAYSIA: Mengapa pilih PKR? Bukan UMNO atau Amanah.
DR. MUHAMMAD FAIZ:

Pertamanya, sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) saya sudah berkawan baik dengan PKR, apatah lagi kita pernah bersama menang dan membentuk kerajaan Pusat. Walaupun peringkat atasan Bersatu menolak PH (selepas Langkah Sheraton) tetapi hubungan akar umbi cukup baik, saya tiada masalah berkawan bersama PKR.

Kedua, PKR adalah sebuah parti menentang amalan rasuah dan ia sudah sinonim dengan agenda perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya akui dahulu Bersatu pada satu ketika lantang menolak korupsi, sehingga mewujudkan Jawatankuasa Anti Rasuah, sebaliknya selepas jadi kerajaan sehingga kini, sudah lenyap agenda itu.
Ketiga seperti saya sebut tadi, agenda perjuangan PKR dekat di hati saya sendiri yang mahu menghapuskan amalan guna kuasa dan rasuah, jadi ini mendorong saya memilih parti itu.

Selalunya orang keluar ma­suk dicop ‘katak politik’, benarkah?

Katak politik ini maksudnya keluar parti A dan masuk parti B. Tetapi saya masuk PKR selepas enam bulan keluar Bersatu, ini bermakna saya selama ini tiada parti. Lagipun saya bukan wakil rakyat untuk melompat sana sini.
Sememangnya saya ingin bersara selepas keluar Bersatu, tetapi selepas menerima tawaran sahabat-sahabat PKR agar masuk jadi ahli, akhirnya saya serah borang setelah agak lama memikirkannya. Saya sifatkan penyertaan ke PKR, sebagai penghijrahan wadah baharu dan tiada langsung untuk sebarang habuan dalam politik apatah lagi kedudukan dalam PKR.

Komen kenyataan ‘PKR bukan parti tong sampah’.

Saya hormati kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan minta kepimpinan PKR jangan kritik pandangan beliau, itu hak beliau bersuara.
Namun kita tidak boleh pukul rata bahawa orang berhijrah dianggap bermasalah kerana latar belakang tidak sama. Tetapi saya yakin PKR telah menilai dan menapis permohonan bekas ahli parti lain sebelum menerima keahlian mereka.

Ada niat lain masuk PKR?

Saya tiada niat lain masuk PKR. Malah parti tidak menawarkan sebarang tawaran kepada saya. Seperti saya sebut, saya mulanya nak bersara politik tetapi menerima tawaran sertai PKR, akhirnya selepas enam bulan tiada parti, keputusan dibuat pada minggu lalu.

Penyertaan ini kerana prinsip perjuangan PKR dan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan bukannya untuk merebut kedudukan parti.

Ulas sedikit kononnya ramai pemimpin Bersatu bakal masuk PKR.

Dijangka dalam kalangan ketua-ketua bahagian Bersatu, mereka sendiri menyatakan kepada saya tidak puas hati terhadap kepimpinan Bersatu yang kini dikuasai geng kartel dan orang luar dalam kalangan bekas pemimpin PKR.

Ia bermula sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) lagi, mereka tidak puas hati kerana banyak calon diketengahkan calon bidan terjun dan geng kartel. Kini kelompok pengasas awal Bersatu, terasa terancam dan tersisih.
Saya tidak menolak lebih ramai keluar Bersatu selepas pemilihan Bersatu yang dijangka berlangsung tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN