MP Gua Musang sedia cabar Perlembagaan Bersatu di mahkamah

Ahli Parlimen Gua Musang sedia cabar Perlembagaan Bersatu di mahkamah

MOHD. AZIZI ABU NAIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim sedia mencabar perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipinda dalam Mesyuarat Agung Khas parti itu semalam jika diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mohd. Azizi berkata, beliau akan terus mengikuti perkembangan pindaan berkenaan dan yakin perkara itu akan mengambil masa sebelum ROS membuat keputusan.

Menurutnya, pindaan perlembagaan itu sekadar bertujuan mengugut ahli Parlimen parti yang lain supaya tidak menyokong Perdana Menteri sebagaimana telah berlaku sebelum ini.

“Sebenarnya ramai lagi ahli Parlimen Bersatu yang sedang tunggu giliran dan masa untuk mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Untuk makluman, perkara itu sudah diketahui oleh kepemimpinan parti menyebabkan pindaan Perkara 10 dibuat kerana bimbang lebih ramai berbuat sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Azizi memberitahu, pindaan Perkara 10 itu membabitkan undang-undang besar perlu dirujuk ke mahkamah.

Katanya, jika ia diluluskan oleh ROS beliau sendiri akan mencabar perkara itu di mahkamah.

“Saya tidak terkesan dengan keputusan dibuat Bersatu menerusi Perhimpunan Agung Khas semalam kerana ia adalah hak parti.

“Apa pun pendirian saya tetap sama akan terus menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya hanya sokong, bukannya saya lompat parti dan apa yang saya lakukan demi pengundi saya di Gua Musang,” ujarnya.

Utusan Online semalam melaporkan, Bersatu meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu melibatkan beberapa fasal untuk mengekang peralihan sokongan dalam kalangan ahli Parlimennya.

Susulan itu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menulis surat kepada enam ahli Parlimennya yang beralih sokongan kepada Anwar.

Kata beliau, surat itu bertujuan meminta pengesahan sama ada mereka masih mahu menyokong Perdana Menteri atau sebaliknya.

“Kita akan bawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk diluluskan secepat mungkin dan akan dikuatkuasakan serta-merta,” katanya.

Enam ahli Parimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN