MN: UMNO kena lupakan soal remeh-temeh - Utusan Malaysia

MN: UMNO kena lupakan soal remeh-temeh

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas menganggap UMNO belum bersedia menerima kembali gagasan Muafakat Nasional (MN) walaupun pintu penyatuan itu tidak pernah ditutup.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam hal ini, semua pemimpin termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu melihat kepada agenda lebih besar yang telah berlaku sehingga ‘mencabuli’ beberapa isu berkaitan Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, katanya, pe­luang penyatuan tersebut sentiasa terbuka dan menyeru kepada kesatuan untuk perjuangan le­bih besar dengan mengambil kira situasi politik hari ini.

“Dia (UMNO) tidak bersedia teruskan usaha perpaduan ummah, sebab itu dia cakap begitu.

“Kita di pihak Pas sentiasa mengambil kira dan buat pertimbangan kedudukan orang Melayu dan umat Islam hari ini. Kalau perkara remeh-temeh, tidak puas hati, kita lupakanlah. Nak kata UMNO tidak puas hati dengan Pas, Pas pun ada perkara yang tidak puas hati dengan UMNO. Tetapi kita peganglah pada akidah besar iaitu perpa­duan ummah kerana perkara asas itu yang sentiasa kita lupakan.

“Kalau terbuku dalam hati kita, kita lupakanlah dan ingat pada agenda utama iaitu perpaduan ummah yang dituntut oleh agama kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

BERTANAM

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang mengingatkan Pas supaya tidak bertanam tebu di bibir berhubung isu mahu menghidupkan semula MN.

Presiden UMNO itu sebaliknya berkata, jangan hanya bercakap sedap di mulut tetapi bila ia dijalankan dengan niat ikhlas daripada UMNO, pemimpin yang mengetuai parti itu sendiri menolak.

Yang meninggalkan MN bukan UMNO, yang meruntuhkan penyatuan ummah juga bukan UMNO, sebaliknya mereka (Pas) yang meruntuhkannya. Jadi saya fikir buat masa ini biarlah kami bersama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Madani bagi membentuk kekuatan dan kestabilan politik,” katanya.

Menurut Hashim, perjuangan dalam menyatupadukan umat Islam adalah agenda penting ketika kini sekali gus semua pihak termasuk pemimpin UMNO harus terbuka dalam menerima perkara itu.

Katanya, ia penting dalam menjadikan Islam lebih utuh dan dipandang gerun oleh orang bukan Melayu khususnya.

“Berundinglah dengan cara dan jalan yang terbaik. Mana-mana ‘luka’ itu dibersihkan kembali supaya dapat menyatu padukan ummah dengan cara yang lebih baik dan sempurna. Saya kira isu remeh-temeh ini tidak akan sampai ke mana kerana bila tidak boleh bersatu, keburukannya menimpa umat Islam.

“Orang bukan Islam gerun dengan kita disebabkan perpaduan, tetapi bila kita berpecah-belah, kita kena ‘ubatlah’ penyakit itu supaya orang bukan Islam gerun dengan perpaduan kita. Kalau kita berpecah, siapa nak takut dengan kita?” soalnya.

Katanya, pemimpin UMNO harus berfikir semula tentang hala tuju mereka dan meletakkan perpaduan Melayu Islam sebagai perjuangan utama.

“Maka, saya rasa eloklah pemimpin UMNO berfikir panjang sikit kali ini dalam menentukan hala tuju dan perjuangan di masa akan datang. Lama sudah kita merdeka, sepatutnya kita sudah lebih berfikir dengan lebih terbuka arah mana yang kita perlu ikuti dan perlu ambil,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN