Etika pakaian: Pelancong bukan Islam tidak perlu bimbang  - Utusan Malaysia

Etika pakaian: Pelancong bukan Islam tidak perlu bimbang 

RAZALI Idris (tengah) bersama sebahagian komuniti Cina Peranakan Terengganu sempena majlis perasmian Pesta Cina Peranakan Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pelancong bukan Islam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana mereka tidak terikat dengan etika pemakaian yang ditetapkan dalam Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan Negeri Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, etika pemakaian itu hanya tertakluk kepada pelancong Islam sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelancong bukan Islam mestilah menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu Islam di Terengganu dengan tidak melampaui batas.

“Pelancong bukan Islam boleh berpakaian seperti biasa yang bersesuaian dengan aktiviti yang hendak mereka lakukan.

“Contohnya kalau hendak mandi di pulau-pulau peranginan, boleh lah pakai sut renang, tapi janganlah pakai di tempat awam seperti Pasar Besar Payang, itu memang tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Razali berkata, etika pemakaian yang ditetapkan dalam garis panduan tersebut bertujuan mendidik pelancong Islam agar mematuhi pemakaian seperti mana yang disyariatkan Islam.

“Hingga hari ini, tiada seorang pun pelancong Islam pernah dihukum kerana melanggar etika pemakaian itu…ini bermaksud, kerajaan negeri masih dalam fasa mendidik, bukan mahu menghukum atau mengenakan denda.

“Dalam masa sama, pemain industri pelancongan juga perlu memainkan peranan mereka dengan mengingatkan pelancong agar sentiasa berpakaian sopan dan tidak mencolok mata sepanjang berada di Terengganu,” katanya.

Terdahulu, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu,  baru-baru ini, kerajaan negeri diminta lebih tegas untuk menguatkuasakan pematuhan etika pakaian oleh pelancong Islam yang datang ke negeri ini.

Ahli DUN Ladang, Zuraida Md. Noor pada sesi perbahasan, berkata, pemantauan pelaksanaan patuh syariah di seluruh negeri perlu dilakukan meliputi hotel, rumah peranginan, pulau, pantai, pusat hiburan, pawagam dan lokasi lain oleh semua portfolio, agensi dan jabatan kerajaan di Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya