Merempit boleh didenda RM10,000­

Merempit boleh didenda RM10,000­

KEMENTERIAN Pengangkutan memaklumkan, antara perubahan utama ialah pengenalan Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan awam sebagai kesalahan khusus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbuatan merempit atau lumba haram, termasuk menunggang motosikal secara melulu, kini menjadi kesalahan jalan raya yang boleh didenda sehingga RM10,000 apabila Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 mula berkuat kuasa semalam.

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu turut bertujuan membendung aktiviti sindiket ‘tonto’, selain memperkukuh penguatkuasaan serta pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, antara perubahan utama ialah pengenalan Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan awam sebagai satu kesalahan khusus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Akta yang mengandungi 42 fasal pindaan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, memperkukuh penguatkuasaan dan memodenkan penyampaian perkhidmatan JPJ.

Bagi kesalahan berulang, pesalah berdepan hukuman lebih berat, iaitu denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pindaan yang mengandungi 42 fasal itu bertujuan memperkukuh keselamatan jalan raya dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Kementerian Pengangkutan berkata, akta berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya, memperkukuh penguatkuasaan dan memodenkan penyampaian perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pindaan itu membolehkan tindakan lebih awal diambil terhadap kegiatan lumba haram yang membahayakan pengguna jalan raya, tanpa perlu menunggu insiden buruk berlaku,” menurut kenyataan MOT di sini, semalam.

Sepanjang 2025, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan 71 Operasi Samseng Jalanan yang membawa kepada 290 tangkapan di bawah Seksyen 42(1), Akta 333.

Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 79 operasi dilaksanakan dengan 171 individu diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sama.

Dalam usaha membendung kegiatan itu, PDRM turut menyita 1,766 motosikal sepanjang tahun lalu dan 972 lagi bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 di bawah Seksyen 64 akta berkenaan.

Tindakan penyitaan bertujuan menghalang penggunaan semula kenderaan yang terbabit dalam lumba haram serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Kenyataan itu berkata, pindaan berkenaan memperkenalkan Seksyen 110B bagi membanteras kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan, termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi bagi membantu pihak tertentu mengelakkan tindakan undang-undang.

“Pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. Kesalahan ini turut dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap,” katanya.

Sementara itu, pindaan Seksyen 53B memperkukuh akauntabiliti pemunya berdaftar terhadap kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan, termasuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), bagi mengelakkan pemilik kenderaan melepaskan tanggungjawab.

“Pada masa sama, penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis elektronik diperkukuh, manakala pelaporan kemalangan secara digital dibolehkan mengikut tatacara yang ditetapkan,” katanya.

Bagi kawalan keselamatan, peruntukan berkaitan kenderaan elektrik, kenderaan yang diubah suai, komponen kenderaan dan kenderaan mikromobiliti turut diperkemas.

Peruntukan berkaitan kenderaan rentas sempadan juga diperkukuh bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang.

Sementara itu, pindaan Seksyen 108 memperketat hukuman bagi kesalahan tertentu berkaitan pemalsuan rekod dan dokumen, termasuk kegiatan kenderaan klon. Pesalah boleh didenda sehingga RM200,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kenaikan had maksimum kompaun daripada RM300 kepada RM500 hanya berkuat kuasa pada 1 Januari 2029.

Menurut kenyataan itu, kenaikan berkenaan tidak bermakna semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik kerana amaun sebenar tertakluk kepada jenis kesalahan dan kaedah yang ditetapkan.

“Langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dan memberikan kesan pencegahan lebih berkesan, bukannya untuk membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini