Masalah rumah tangga punca pegawai AKPS maut ditikam suami

Masalah rumah tangga punca pegawai AKPS maut ditikam suami

SUSPEK yang dipercayai membunuh isterinya di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai, Seremban semalam dibawa ke Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2, Seremban semalam bagi proses reman. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kes wanita dipercayai dibunuh suami di unit kediaman kakitangan kerajaan di Nilai, malam semalam, dipercayai berpunca daripada pergaduhan akibat perselisihan rumah tangga.

Mangsa ialah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, dan mempunyai kesan cedera akibat tikaman.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal di lokasi mendapati mangsa yang berusia 35 tahun ditikam, malah senjata yang digunakan turut ditemukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pada 9.30 malam tadi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima laporan berhubung seorang lelaki tempatan yang menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Suspek memaklumkan mengenai kematian isterinya di sebuah kediaman di kompleks perumahan awam di Nilai.

“Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang merupakan suami mangsa telah ditangkap bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan semalam.

Alzafny berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.30 malam selepas suspek menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor dan memaklumkan mengenai kematian isterinya.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Nilai yang menjalankan pemeriksaan di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini merupakan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertukar skim perkhidmatan ke AKPS berkuatkuasa pada 1 Julai lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Seremban hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, lelaki yang disyaki membunuh isterinya di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai di sini malam semalam direman selama tujuh hari sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, abang kepada mangsa, Mohd. Hazwan, 38, berkata, malam tadi dia dihubungi oleh suspek yang merupakan adik iparnya untuk menjadi saksi lafaz cerai terhadap arwah.

Beliau berkata, sehari sebelum kejadian, dia bermalam di rumah Allahyarham adiknya kerana ada urusan di Bangi, Selangor.

Katanya, dia keluar dari rumah arwah kira-kira pukul 10.30 pagi kelmarin dan adik iparnya yang merupakan suspek kes itu ada menghubungi sebelum meminta agar menjadi saksi lafaz cerai.

“Suspek meminta saya menjadi saksi lafaz cerai terhadap arwah menerusi telefon sebelum panggilan terputus. Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke Kelantan.

“Saya hubungi semula adik ipar saya dan dia memaklumkan bahawa isterinya sudah tiada. Dia tidak pula memaklumkan bahawa sudah membunuh arwah Norhazwani. Suspek hanya beritahu dia sudah berada di IPD Sepang,” ujarnya.

Mohd. Hazwan berkata, jenazah Allahyarham Norhazwani dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor di sini, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini