Afrika Timur mahu hadkan pakaian ‘bundle’ tetapi sukar - Utusan Malaysia

Afrika Timur mahu hadkan pakaian ‘bundle’ tetapi sukar

PAKAIAN terpakai dari negara-negara luar amat popular di Kenya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Industri fesyen dan tekstil tempatan di Afrika Timur kini berdepan laluan sukar untuk berkembang berikutan persaingan sengit daripada lambakan pakaian terpakai import yang jauh lebih murah.

Lambakan pakaian yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China itu kini membanjiri pasaran domestik sekali gus menyekat potensi pengusaha serta pereka fesyen tempatan untuk menarik minat pembeli.

Situasi berkenaan dapat dilihat dengan jelas di Gikomba, Kenya apabila ratusan pembeli tetap setia meredah pasaran terbuka terbesar di Afrika Timur itu demi memburu pakaian terpakai atau baju bundle.

Bagi golongan pereka tempatan, saingan harga dengan baju terpakai yang dikenali sebagai ‘mitumba’ dalam bahasa Swahili ini disifatkan sebagai satu cabaran yang amat sengit.

Pengasas jenama pakaian wanita Kenya, Zia Africa, Zia Bett mengaku bahawa syarikat pakaian tempatan memang tidak mampu untuk menyaingi pasaran baju terpakai terutamanya dari segi tawaran harga.

Perkara sama diakui pemilik Kuya Creations di Tanzania, Elizabeth Paul yang mendedahkan dengan harga sehelai gaun buatan tempatan bernilai TZS50,000 (RM76), pelanggan sebaliknya boleh mendapat 10 helai baju bundle.

Kemelut ini mencetuskan dilema buat Komuniti Afrika Timur (EAC) yang sebelum ini pernah bercadang mengenakan sekatan penuh, namun rancangan itu gagal susulan menerima tekanan ekonomi daripada pihak AS.

Bagaimanapun, Uganda kini mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan cukai tambahan sebanyak 30 peratus ke atas import pakaian terpakai demi melindungi alam sekitar dan merancakkan semula industri tekstil mereka.

Langkah berbeza berlaku di Kenya apabila cadangan untuk mengubah kaedah cukai pakaian terpakai terpaksa digugurkan daripada Rang Undang-Undang Kewangan selepas menerima bantahan hebat daripada rakyat yang bimbang akan lonjakan harga.

Menurut data perdagangan global, Kenya kini memegang status sebagai pengimport utama pakaian terpakai di Afrika selepas menerima lambakan hampir 180,000 tan metrik barangan berkenaan pada tahun 2022. – BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN