KUALA NERUS: Sikap prihatin terhadap rakan yang kurang berkemampuan mencetuskan idea buat seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini mengumpul pakaian terpakai untuk golongan wanita.
Inisiatif yang dilakukan Noradiah Ismail, 24, sejak Februari lalu pada awalnya hanya membabitkan keluarga terdekat dan mendapat respons positif sehingga membolehkannya mengagihkan sumbangan itu kepada rakan-rakannya di kampus,
Pelajar tahun akhir Ijazah Perakaunan UMT itu berkata, dia melakukan kerja sukarelawan berkenaan bersama rakan serumahnya, Nasuha Mohamad, 32, yang turun padang mengambil pakaian terpakai di rumah penyumbang.
Katanya, usaha rakan serumahnya itu memuat naik iklan mencari pakaian terpakai dalam media sosial turut mendapat sambutan membanggakan.
“Kami tidak menang tangan sebab ramai yang mahu mendermakan pakaian terpakai. Ada yang kami pergi ambil di rumah dan ada datang hantar ke rumah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehingga kini, lebih 50 penuntut perempuan UMT terdiri daripada golongan susah menerima sumbangan pakaian terpakai itu sejak inisiatif berkenaan digerakkan Ramadan lalu.
Noradiah berkata, pengalaman terlibat dalam Persatuan Pengakap sebelum ini banyak membantunya dalam kerja sukarelawan berkenaan.
“Saya banyak terlibat dengan aktiviti sukarela seperti membantu mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN










