KUALA NERUS: Inisiatif menerusi Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT bersama Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM) itu dilihat selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan berdaya saing yang bukan sahaja menjadi pencari kerja, malah pencipta peluang pekerjaan.
Inkubator tersebut menawarkan 40 produk usahawan siswa dengan 10 perniagaan telah berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), antara produk yang ditawarkan termasuk sos pencicah, biskut, ikan tilapia salai, ikan hiasan, makanan sedia dimakan (RTE), pop-corn dan pakaian.
Menurut Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Hirman Awang berkata,budaya keusahawanan di institusi pengajian tinggi perlu diperkasa secara berterusan bagi memastikan graduan lebih bersedia menghadapi landskap ekonomi semasa yang semakin mencabar dan kompetitif.
“Mahasiswa kini telah mengorak langkah lebih jauh terutama dalam pembinaan jati diri serta personaliti diri mereka.
“Mahasiswa perlu berani mencuba dan melihat keusahawanan sebagai satu kerjaya masa hadapan yang mampu memberi impak kepada masyarakat serta ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, mahasiswa hari ini mempunyai potensi besar untuk meneroka bidang ekonomi dan teknologi berasaskan inovasi serta mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.
Menurut statistik tahun 2024, UMT telah membimbing dan melahirkan lebih 23 peratus usahawan siswa sepanjang tempoh pengajian, sekali gus menunjukkan peningkatan minat generasi muda terhadap bidang keusahawanan.
Selain itu, Pengarah UMT-GEM, Prof. Madya Dr. Nor Fazliyana Mohtar berkata, UMT-GEM akan terus komited meligat ekosistem keusahawanan siswa UMT menerusi integrasi bersama fakulti, pusat tanggungjawab lain dalam UMT bersama rakan kolaborasi yang lain.
“Peluncuran inkubator tersebut dijangka menjadi pemangkin baharu kepada ekosistem keusahawanan kampus, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik antara universiti, industry, agensi dan alumni dalam memperkasapembangunan usahawan siswa negara,” katanya. – UTUSAN










