Menteri pertahan tindakan terhadap wanita langgar kod etika pakaian - Utusan Malaysia

Menteri pertahan tindakan terhadap wanita langgar kod etika pakaian

WANITA perlu memakai pakaian yang menutup aurat di Afghanistan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Seorang menteri Afghanistan pada Isnin mempertahankan tindakan sekatan terhadap kod pemakaian wanita di bandar barat Herat, de­ngan berkata, langkah itu bertujuan melindungi maruah.

“Segala-galanya baik di Herat,” kata Menteri Penyebaran Kebaikan dan Pencegahan Kemungkaran (PVPV), Mohammad Khalid Hanafi dalam satu sidang media di Herat.

“Tiada penindasan atau kekejaman di sini dan hak-hak saudari kami dilindungi,” ujarnya.

Seramai 30  wanita telah ditahan oleh polis moral kerajaan Taliban pada awal Jun atas dakwaan melanggar peraturan pakaian rasmi kerana tidak memakai chador atau burqa yang menutupi seluruh tubuh.

Antara yang ditahan ialah seorang pekerja hospital yang bekerja dengan organi­sasi Doktor Tanpa Sempadan (MSF) yang mengecam keras penahanan tersebut.

Satu bantahan jarang berlaku terhadap sekatan itu telah disu­raikan secara ganas sehingga sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Wanita di negara itu diwajibkan menutup hampir seluruh tubuh apabila keluar dari rumah dengan ramai memakai jubah abaya yang labuh, tudung kepala dan penutup muka walaupun tidak semestinya burqa atau chador.

Hanafi berkata bahawa pihak musuh akan menggambarkan perkara ini sebagai undang-undang dan ketenteraman ciptaan Taliban, tetapi ia adalah perintah Tuhan.

Tindakan terbaru terhadap kod pemakaian wanita itu turut memberi kesan kepada perniagaan apabila jumlah pelanggan wanita menurun kerana mereka memilih untuk tinggal di rumah, menurut peniaga, pemandu dan penduduk tempatan.

Wanita di Herat memberi­tahu AFP bahawa mereka kini tidak lagi keluar rumah kecuali jika benar-benar perlu kerana bimbang dihentikan oleh pegawai PVPV atas dakwaan melanggar peraturan pakaian. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN